Jun 17, 2009

WALAUPUN DIKRITIK :ANWAR TETAP MENYOKONG CHIN PENG PULANG

Di sebalik kritikan pelbagai pihak, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendiriannya agar kerajaan membenarkan bekas ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke tanah air.

Anwar berkata, kenyataan beliau sebelum ini yang menyokong kepulangan Chin Peng bukan berkisar tentang keganasan yang melibatkan aktiviti militan PKM tetapi berlandaskan prinsip kemanusiaan.

"Malaysia telah menandatangani perjanjian, mereka (PKM) telah menyerahkan senjata dan pulang dengan aman.

"Sebahagian besar termasuk Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh telah pun pulang. Sebab itu saya fikir atas rasa peri kemanusiaan, (Chin Peng) perlu dibenarkan pulang," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Anwar menyatakan pendiriannya tentang Chin Peng Sabtu lalu.

Sejak itu beliau dikecam kerana membelakangi pengorbanan anggota keselamatan negara.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, sejak daripada kepimpinan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, Malaysia telah mengadakan pertemuan dengan parti komunis di China yang sememangnya diketahui menyokong PKM.

"Jadi pada pendapat saya, elok kita maju terus dan menyatakan sejarah sebagai satu realiti.

"Kita harus terus memberi pengiktirafan kepada usaha dan pengorbanan pasukan keselamatan tetapi jangan kita menunjukkan sikap kepura-puraan dan tidak konsisten dalam dasar ini," katanya.

Berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menyatakan beliaumelihat PAS ikhlas dalam cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan dan tidak menolak sebarang kerjasama antara Umno dan PAS, Anwar berkata, kenyataan Najib adalah untuk meraih sokongan.

Katanya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menjelaskan kepada beliau bahawa jika wujud kerjasama antara kedua-dua parti itu, ia adalah berkisar mengenai sistem pilihan raya dan institusi kehakiman yang bebas.

Katanya, Abdul Hadi akan memberi penjelasan lanjut berhubung kerajaan perpaduan yang diutarakan parti itu pada mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat Isnin ini.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau sedang menyediakan usul bagi memprotes tindakan junta tentera Myanmar terhadap pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi yang menyekat beliau daripada memperjuangkan demokrasi dan hak-hak asasi manusia di Myanmar.

No comments:

Post a Comment