• Wanita jadi mangsa dakwaan skandal Pusat Aduan Rakyat negeri akan membantu mangsa mendapatkan khidmat guaman bagi membawa kes terbabit ke mahkamah.
1 / 1
PASIR GUDANG – Seorang ibu tunggal  trauma selepas mendakwa dipukul seorang lelaki ketika bersama empat rakan lain sedang leka bermain mahjung dalam kejadian 27 April lalu, di sebuah restoran, dekat sini.
Menceritakan kejadian itu, mangsa yang berusia 43 tahun itu berkata, lelaki yang memukulnya menuduh dia menyebarkan khabar angin bahawa mereka berdua mempunyai hubungan cinta.

Mangsa memberitahu, dia mengenali lelaki itu yang merupakan pemilik sebuah restoran tempat adiknya berniaga, sebelum mereka terputus hubungan setahun lalu apabila mangsa berniaga di tempat lain.

Bagaimanapun, katanya, dia menganggap lelaki berkenaan sebagai kenalan biasa dan mengakui jarang bertegur sapa, apatah lagi menjalinkan hubungan cinta memandangkan lelaki itu sudah berkahwin.

“Saya tergamam apabila dia tiba-tiba bertindak memukul saya menggunakan payung di bahagian kepala, dahi dan tangan sehingga lebam dan bengkak, malah dia turut menendang kereta saya sehingga kemek. Rakan saya cuba menghalangnya tetapi tidak berjaya.

“Dia turut mengugut membunuh saya. Disebabkan kata-katanya, saya bimbang sesuatu yang buruk berlaku sehingga tidak berani keluar rumah dan berniaga,” katanya dalam satu sidang media, di Pusat Aduan Rakyat negeri, semalam.

Menurutnya, akibat insiden itu, dia membuat laporan polis kerana faktor keselamatan.

"Kira-kira tiga minggu selepas kejadian, saya terpaksa membuat satu lagi laporan polis selepas ternampak dua lelaki berulang-alik menaiki motosikal di hadapan rumah.

“Disebabkan terlalu trauma selepas dipukul, saya tidak berani berniaga kerana bimbang dia kembali menyerang saya sehinggakan jika ternampak kelibat lelaki, saya takut,” katanya.

Dia turut memaklumkan selepas membuat laporan polis, lelaki itu cuba berdamai dan berjanji membayar ganti rugi sebanyak RM3,000, tetapi dia menolak kerana faktor keselamatan selain ingin memberi pengajaran.

Sementara itu, Penyelaras Pusat Aduan Rakyat Negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, mangsa membuat aduan kepadanya selepas buntu untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Menurutnya, pihaknya juga akan membantu mangsa mendapatkan khidmat guaman.

Pada sidang media terbabit, Syed Othman turut menghubungi pegawai penyiasat bagi mengetahui perkembangan kes itu, berdasarkan respons, pihak polis sedang menunggu laporan perubatan mangsa, dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.