Jun 13, 2009

TENGKU ADNAN MENGESAHKAN TIADA WAKIL PAS BERTEMU UMNO


Putrajaya - Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak yakin dengan cadangan Pas untuk membentuk kerajaan perpaduan seperti dizahirkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah, katanya, BN masih ragu-ragu dan sangsi dengan idea kewujudan kerajaan perpaduan itu memandangkan Pas pernah mengadakan perbincangan berhubung perkara sama sebelum ini.


''Saya tak yakin, BN tak perlu yakin dan terlalu yakin kerana mereka nak cari kuasa untuk kepentingan diri, bukannya nak bantu rakyat atau bangunkan negara.


''Dahulu semasa saya jadi Setiausaha Kerja UMNO dan Tun Khalil Yaakob sebagai Setiausaha Agung, beliau telah bertemu dengan pihak Pas tetapi selepas bertemu tak ada apa-apa pun, jadi kita masih ragu dan sangsi dengan apa yang mereka maksudkan," katanya.


Tengku Adnan turut menyifatkan isu tersebut sebagai permainan pakatan pembangkang untuk menutup keretakan hubungan mereka yang diibaratkan retak menanti belah. ''Bila sudah mula retak, nak sorokkanlah. Sebenarnya mereka tak mampu menguruskan negeri jadi keluar macam-macam helah sehingga Pas sendiri berpuak-puak," katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa tidak ada wakil daripada Pas yang datang menemui pemimpin tertinggi UMNO untuk membincangkan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.


No comments:

Post a Comment