Jun 21, 2009

KAMI BERPEGANG TEGUH AMANAT TGHA

Hanya seminggu dua sahaja Umno merasa selesa untuk bernafas apabila menyaksikan Pas bergelut dengan isu Kerajaan Perpaduan. Syabas, buat penyokong setia Pas yang terus mara ke hadapan menjadi perisai agar tembok pertahanan Pas tidak ditembusi oleh Umno dengan propagandanya. Disaat pimpinan Pas lebih banyak mendiamkan diri, penyokong-penyokong setia Pas termasuk penyokong-penyokong kuat PR berterusan menjadi penghalang kepada objektif Umno untuk melihat Pas terkubur.
Meskipun Harakah, satu-satunya media Pas yang sepatutnya boleh diharapkan untuk mempertahankan maruah dan moral Pas dari di`jual' dengan murah kepada Umno, tetapi akhbar tersebut terikut dengan rentak pemimpin mereka. Lesu dan tidak bermaya malahan kadangkala kelihatan laporan atau beritanya saling tidak tumpah seperti Utusan Meloya pula. Mujur, usaha yang berterusan dari penyokong-penyokong bawahan yang mahukan Pas terus dihormati dan disegani bukan di`beli', disedari oleh Mursyidul Am Pas. Lantas, beliau mengeluarkan kenyataan yang agak keras bagi `mengejut'kan beberapa pimpinan yang mungkin `terlena' dengan mimpi indah bersama bakal `tunangan'nya bernama Umno. Selepas itu, barulah seorang demi seorang mengeluarkan pandangan masing-masing dari segala pelusuk negeri. Apabila terjaga dari `lena' barulah mereka tahu bahawa idea Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya tidak pernah dibincangkan sesama pimpinan Pas apatah lagi bersama PR rakan yang banyak membantu Pas sebelum ini. Rahsia bahawa cadangan Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya tidak pernah dibincangkan, bahkan semata-mata pendapat atau keinginan peribadi dua tiga orang di dalam Pas telah didedahkan di dalam Parlimen baru-baru ini oleh Ustaz Abdul Halim. Ketika itu, baru kita faham sebenarnya situasi yang berlaku walaupun sebelum ini beberapa pemimpin Pas mengutarakan berbagai helah dan dalil untuk meyakinkan kita agar menerima `jalan yang mudah' itu. Alhamdulillah, Tuan Guru Nik Aziz terlebih awal `menghidu' bau busuk dari idea tersebut walaupun Mufti Perak menghidunya sebagai wangi yang teramat harum. Setelah menyedari bahawa bukan semua penyokong dan ahli-ahli Pas boleh di`beli' dengan harga yang terlalu murah, Umno mula gelisah dan mahu tidak mahu terpaksa juga pemimpin-pemimpin Umno memuji melangit dua tiga tokoh Pas ini agar impian Umno akan menjadi kenyataan. Jika dahulu mereka mengecam tokoh Pas ini dengan menuduh fatwanya `mengkafirkan Umno' dalam amanat yang terkenal itu, kini mereka terpaksa menjilat ludahnya kembali. Umno tidak mengerti bahawa masih ramai di kalangan penyokong-penyokong dan ahli Pas yang masih memegang kuat fatwa `Amanat Haji Hadi' itu kerana mereka yakin bahawa itu adalah amanat yang betul dan tidak silap walaupun mungkin terdapat dua tiga tokoh Pas sekarang ini yang menganggap amanat itu tidak lagi releven. Kerana Amanat itulah penyokong-penyokong dan ahli Pas menentang keras sebarang usaha ke arah Kerajaan Perpaduan bersama Umno. "Kita menentang Umno bukan kerana ianya Umno".

1 comment:

  1. TAKBIRRRRRRR.....

    Wahai pemimpin PAS yang aku kagumi, gunakanlah ilmu yang penuh didadamu itu untuk memimpin kami ke arah jalan yang benar.
    sesungguhnya kami berpegang teguh dengan amanatmu itu. "Kita menentang Umno bukan kerana ianya Umno".

    ReplyDelete