• Mohd Azmi bersama isteri ketika tampil menyuarakan masalah yang dihadapinya kepada Syed Othman Mohd Azmi bersama isteri ketika tampil menyuarakan masalah yang dihadapinya kepada Syed Othman
1 / 1
PASIR GUDANG - “Masa itu saya terlalu buntu memikirkan wang yang belum cukup untuk membuat pembedahan isteri yang mengalami ketumbuhan pada rahim, sehingga saya nekad membuat pinjaman ah long selepas diperkenalkan seorang kawan,” kata mangsa ah long.
Pemandu lori yang ingin dikenali sebagai Mohd Azmi, 38, berkata, pinjaman pada mulanya sebanyak RM2,000 dengan dua ah long bertambah kepada RM3,500 dengan empat ah long apabila pinjaman asal gagal dijelaskan.

Menurutnya, selepas empat bulan berlalu isterinya kembali pulih, tetapi malangnya empat ah long menuntut hutangnya termasuk bayaran faedah keseluruhan hampir RM30,000 sehingga diancam ugutan bunuh.

“Saya bersyukur isteri dan anak selamat dilahirkan, tapi tak sangka mengundang padah sehingga mengancam keselamatan kami sekeluarga.

“Wang pinjaman yang saya pinjam keseluruhan hanya RM3,500 untuk tampung kos pembedahan isteri sudah menjadi hampir RM30,000 selepas gagal membuat bayaran setiap dua minggu sekali,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azri berkata, hidupnya sekeluarga semakin kucar-kacir kerana tidak boleh lagi tinggal sebumbung dengan isteri dan tiga anaknya demi keselamatan selepas diancam dengan pelbagai ugutan ah long.

Menurutnya, lebih menyedihkan apabila memikirkan sambutan hari raya yang tidak boleh disambut seperti selalu kerana takutkan ancaman ah long.

“Kami tak buat persiapan apa-apa untuk raya kali ini, malah baju raya anak-anak pun belum beli sehingga membuatkan saya menitiskan air mata apabila anak-anak bertanyakan baju raya mereka.

“Saya tak pernah tempuh semua ini, itu yang menyebabkan hidup saya agak terganggu dan tertekan sehingga saya sudah lama tidak berkerja kerana risau memikirkan keselamatan kami sekeluarga,” katanya yang telah membuat dua kali laporan polis di Balai Polis Ulu
Tiram.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan berusaha menghubungi ah long untuk membuat rundingan mengenai bayaran yang mampu dibuat pengadu.

“Saya mengalu-alukan orang ramai yang bersimpati dengan keadaan mangsa supaya menghulurkan sumbangan kerana dia bukan sengaja menjerumuskan diri dalam hutang ah long, sebaliknya pinjaman dibuat untuk membiayai pembedahan isterinya.

“Saya sendiri bersimpati kerana kesempitannya ketika itu sehingga membuat keputusan untuk meminjam wang ah long mengundang padah sehingga dia menjadi mangsa,” katanya.