Oct 22, 2014

SAYA TERLALU RINDUKAN ANAK ANAK

Azizan (kiri) bersama Penyelia PAR negeri, Syed Othman Syed Abdullah menunjukkan salinan laporan polis dan gambar isteri berserta tiga anaknya yang hilang sejak Disember tahun lalu.
PASIR GUDANG - “Orang yang tak alami tak kan tahu, sedangkan saya berdoa siang dan malam supaya mempertemukan kembali dengan anak-anak yang hilang sejak Disember tahun lalu,” kata Azizan Ja’far, 49.

Mengimbas kembali detik hitam itu, Azizan berkata, sekitar jam 10.30 pagi, isterinya, Erni Haizada Hassan, 38, bersama tiga anaknya, Eisyah Humairah, 5; Eilsya Ramadhan, 4, dan Ezzan Mustaqeem, 2, keluar menaiki kereta ke kedai berhampiran.

Bagaimanapun menurutnya, dia keluar mencari isteri dan anak-anaknya selepas menyedari mereka tidak pulang ke rumah jam 6 petang hari sama.

“Saya hanya menemui kereta yang dipandu isteri ditinggalkan di pekarangan Masjid Besar Muar tanpa mereka dan telefon bimbit isteri yang dihubungi juga gagal sehingga ke hari ini.

“Pelbagai usaha dilakukan termasuk berkorban harta benda demi anak-anak, namun belum membuahkan hasil sedangkan saya terlalu merindui mereka,” katanya pada sidang media di Pusat Aduan Rakyat (PAR), semalam.

Azizan berkata, hatinya luluh setiap kali didatangi mimpi isteri dan anak-anaknya berada dalam kesusahan.

Menurutnya, kebimbangannya memuncak setiap kali memikirkan anak bongsu yang baru berusia dua tahun menghidap asma.

“Saya dah tak tahu nak buat apa kerana laporan polis sudah dua kali dibuat di Muar dan Jerantut serta beberapa kali ke jabatan bertanggungjawab mengharapkan ihsan dan bantuan mencari anak saya, namun tak ada maklum balas.

“Rasa hati saya kuat mengatakan mereka dalam keadaan susah kerana saya kerap bermimpi anak sulung datang pada saya dalam keadaan muka berdarah,” katanya.

Katanya, hidupnya tidak keruan kerana terlalu memikirkan keselamatan isteri dan anak-anaknya.

Menurutnya, usaha yang diambil sendiri melalui penyebaran gambar isteri dan anak-anak ke serata tempat pernah hingga ke Rantau Panjang Kelantan dan Golok Thailand dengan harapan ada sinar kegembiraan yang menanti.

“Saya buntu memikirkan di mana isteri dan anak-anak saya?.

“Saya mohon pihak berkuasa jangan lepas tangan, bantulah saya mengesan isteri dan anak-anak saya kerana inisiatif saya sendiri mengedarkan gambar mereka tidak berhasil.

“Orang ramai yang pernah melihat isteri dan anak-anak saya ini, saya rayu hubungi saya di talian 019-9098009 atau ke balai polis berhampiran,” katanya.