Jun 26, 2014

TIDAK MEMBATALKAN PUASA

Keputusan “Seminar Fekah Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 bersamaan 14-17 Jun 1997.Menurut Al-Quran dan Hadis yang sahih dari Nabi Muhammad SAW, tiga perlakuan yang boleh membatalkan puasa: Makan, minum dan melakukan hubungan seks. Oleh yang sedemikian, apa-apa bahan yang dapat melalui rongga samada berbentuk pepejal atau cecair dalam apa jumlah sekalipun, ianya boleh membatalkan puasa.
Menurut ahli majlis/peserta seminar tersebut telah sepakat bersetuju bahawa perkara-perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA.
1- Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga.
2- Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung).
3- Memasukkan ubat melalui faraj, memasukan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin).
4- Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray.
5-Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.
6- Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah (seperti glukos yang mengenyangkan).
7- Penderma atau menerima pemindahan darah.
8- Oksigen dan Gas Bius.
9- Semua jenis bahan yang boleh menyerap kedalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat.
10- Mengambil sampel darah untuk ujian makmal.
11- Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain.
12- Teropong dalam rongga perut (endiskopi) untuk mencari punca penyakit.
13- Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk kedalam perut.
14- Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat kedalamnya (contoh; IUCD, alat pencegah kehamilan dalam rahim).
15- Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain.
Pendapat majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA
1- Ubat titis hidung, semburan hidung (inhalers) dan
ubat sedut.

2- Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur.
3- Pembedahan yeng melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya.
4- Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut.
5- Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya kedalam perut. TAMAT.
Alhamdulillah, dengan penjelasan ini semoga terjawab persoalan yang sering menjadi pertanyaan dan kemusykilan bagi para muslimin dan muslimat sekelian. Selamat menjalani ibadat puasa, semoga Allah menerima semua amalan baik kita dan memberi kekuatan dan hidayah untuk kita istiqamah melakukannya.
Akhukum:
Abu Anas Madani,
PSD, 5 Ramadhan 1434H, 14 Julai 2013

Jun 18, 2014

Program Kebajikan



Hanya tumpang kasih cucu

P
ASIR GUDANG - Sepasang suami isteri warga emas di Taman Cendana, di sini menanggung tanggungjawab besar menjaga cucu selepas anak dan menantunya menghilangkan diri sejak 13 tahun lalu.

Chong Kin Yon, 79, berkata, hidupnya sebagai suami isteri menumpang kasih cucu dan jauh di lubuk hatinya terlalu kecewa dengan tindakan anak tunggalnya kerana langsung tidak menghubungi keluarga.

Menurutnya, dengan pendapatan isteri, Cheong Wan Lan, 56, kurang RM800 sebulan digunakan secara berjimat cermat menampung perbelanjaan keluarga dan membesarkan cucunya.

“Saya dah lama tak boleh bekerja kerana semput, hanya isteri yang cari makan untuk menampung perbelanjaan keluarga dan persekolahan cucu saya.

“Saya dah lupakan anak saya walaupun dia satu-satunya anak kami, saya dah tak mahu ingat lagi perkara lama kerana peristiwa itu terlalu pahit untuk dikenang,” katanya, di sini, semalam.

Sementara itu, cucunya, Chong Jie Xing, 13, berkata, hasratnya ingin belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang angkasawan bagi membalas jasa datuk dan neneknya yang telah banyak berkorban.

Katanya, dia berusaha untuk belajar hidup berdikari kerana tidak mahu terlalu membebankan datuk dan neneknya yang sudah tua.

“Saya sayang mereka (datuk dan nenek) kerana mereka yang menjaga saya sejak dari dalam kandungan sehingga mak saya lari tinggalkan saya selepas saya dilahirkan.

“Duit raya Cina dan Melayu saya kumpulkan sedikit demi sedikit sehingga saya dapat belikan komputer riba untuk memudahkan persekolahan saya.

“Saya akan belajar rajin-rajin supaya boleh berjaya dan balas jasa mereka” katanya yang tidak berkeinginan bertemu ibu dan bapanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Johor, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga itu sejak lebih empat tahun lalu.

“Setiap bulan memang kami akan hantar bantuan barangan keperluan sejak lebih empat tahun lalu kerana pendapatan mereka terlalu terhad mengharapkan rezeki isteri yang bekerja di hotel dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.