Penduduk bersama Syed Othman (dua, kanan) menunjukkan keadaan lubang saluran utama yang melimpah sej
Penduduk bersama Syed Othman (dua, kanan) menunjukkan keadaan lubang saluran utama yang melimpah sejak tiga bulan lepas.
PASIR GUDANG – Lebih 20 peniaga dan penduduk di Jalan Bayan Taman Megah Ria, di sini merungut ekoran masalah lubang saluran utama kumbahan yang melimpah masih berlarutan sejak tiga bulan lepas.

Peniaga kedai makan, Shuib Mohd Noor, 26, berkata, premis perniagaannya berbau busuk dan meloyakan walaupun terletak lebih kurang 100 meter dari lubang saluran utama kumbahan yang melimpah kerana aliran air najis yang tidak pernah kering.

Menurutnya, perniagaannya terjejas hampir 50 peratus kerana kesukaran pelanggan hendak meletakkan kenderaan ekoran limpahan air kumbahan yang busuk.

“Pelanggan selalu tanya kenapa ada air lumut di persekitaran kedai saya, sedangkan itu sebenarnya air kumbahan sehingga saya tak tahu dah nak jawab apa.

“Ramai pelanggan saya lari kerana tidak tahan dengan bau busuk dan meloyakan sedangkan saya mengharapkan rezeki Ramadan yang datangkan hanya setahun sekali,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Seorang penduduk, Abdul Rahman Yusof, 55, berkata, bau  bertambah busuk apabila waktu hujan sehingga menghilangkan selera berbuka puasa dan bersahur.

Menurutnya, keadaan air najis yang kotor itu menyusahkan penduduk terutama pada bulan Ramadan untuk ke masjid berhampiran menunaikan solat terawih.

“Kita was-was hendak melintas jalan untuk ke masjid berhampiran dengan keadaan air najis yang kotor sentiasa mengalir di sepanjang jalan.

“Rasa macam dah tak tahan hari-hari kena hidu bau busuk, sedangkan ini bulan Ramadan kita berpuasa berkumpul sekeluarga hendak berbuka puasa dan bersahur, tetapi membuatkan kita hilang selera,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Kassim Maidin, 48, berkata, lubang saluran utama kumbahan sedalam lebih kurang 2.5 meter itu boleh meragut nyawa kanak-kanak sekiranya terjatuh ke dalamnya.

Menurutnya, lubang yang berada berhampiran simpang keluar masuk jelas membahayakan kerana jalan itu menjadi laluan utama pekerja kilang, kanak-kanak tadika dan pelajar sekolah serta penduduk.

“Sebelum ini pernah berlaku tayar kereta penduduk yang terjatuh ke dalam lubang itu sehingga pemandunya mengalami kerugian kerana kerosakan pada keretanya.

“Lubang ini ibarat sedang menunggu mangsa kerana bukan sahaja kanak-kanak boleh tenggelam sekiranya terjatuh, kita orang dewasa pun boleh tercedera jika tidak berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk buat kali kedua apabila pihak bertanggungjawab yang dihubungi sebelum ini masih belum mengambil sebarang tindakan.

Menurutnya, pihaknya sekali lagi akan merujuk kepada pihak bertanggungjawab dan akan turut menghantar surat kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) kerana aduan yang dibuat gagal diambil tindakan.

“Saya dah hubungi pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebelum ini dan mereka berjanji akan mengambil tindakan segera, tetapi nampaknya masalah itu masih terus berlarutan.

“Saya akan rujuk MBJB sekali lagi dan Isnin ini saya akan menghantar surat kepada BPA kerana memikirkan kesannya kepada penduduk terutama dari segi kesihatan dan pendapatan peniaga turut terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam MBJB, Mohd Firdaus Abdul Hamid ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya sudah maklum dengan permasalahan itu dan sedang dalam proses menjalankan kerja pembaikan.

Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti punca lubang saluran utama itu melimpah disebabkan tersumbat dengan sampah-sarap dan sisa-sisa makanan.

“Kita telah mengarahkan kontraktor yang dilantik untuk segerakan kerja-kerja membaik pulih lubang saluran utama itu dalam masa terdekat,” katanya.