Jun 15, 2009

MP SHAH AKUI KESILAPAN


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd. Samad mengakui beliau tidak menyemak dan meneliti semula usul yang meminta supaya pertubuhan Sister In Islam (SIS) diharamkan jika bertentangan dengan syariat Islam.

Beliau berkata, usul daripada Dewan Muslimat Pas Shah Alam itu tidak bermaksud untuk menghukum pertubuhan tersebut seperti yang dicatatkan dan usul itu kemudiannya diluluskan tanpa bahas semasa Muktamar Tahunan Pas Ke-55 di sini, minggu lalu.


Khalid menjelaskan, Dewan Muslimat sebenarnya mahu menyatakan pandangan SIS sepatutnya diselidik mengikut syariat Islam termasuk diadakan perbincangan dan perdebatan mengenai sesuatu isu yang diperjuangkan oleh pertubuhan tersebut.


Usul itu mencetuskan kontroversi kerana terdapat ungkapan iaitu mencadangkan agar Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang didakwa membawa aliran Islam liberal dan mengharamkannya jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam.


''Usul ini asalnya dibangkitkan semasa mesyuarat Dewan Muslimat pada 12 April dan kesilapan ungkapan itu saya sedari semasa ia dinyatakan pada mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas kawasan pada 23 April lalu dan meminta ayat tersebut dipinda tetapi ia tidak berlaku seperti itu.


''Silap saya kerana tidak menyemak semula versi akhir usul yang dihantar ke AJK Pas Pusat dan hanya menyedari kesilapan tersebut apabila ia diluluskan tanpa bahas pada hari akhir muktamar tersebut,'' katanya.

No comments:

Post a Comment