Jun 24, 2009

PAS TAKUT PADA ANWAR KATA :ISA SAMAD

SHAH ALAM - Veteran UMNO, Tan Sri Isa Abdul Samad menyifatkan penolakan Pakatan Rakyat (PR) terhadap idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) kerana takut kepada Anwar.

Menurutnya, Pas takut untuk menyuarakan dan mempertahankan cadangan mereka memandangkan mesyuarat antara PR itu dipengerusikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam mesyuarat tersebut, Anwar yang mempengerusikannya. Mereka takut untuk bersuara kepada Anwar,” katanya.

Beliau berkata, Pemimpin Pas walaupun merupakan Ahli Majlis Tertinggi dalam komponen PR tetapi dilihat telah dipergunakan oleh PKR dan DAP.

“Jelas, Pas tunduk pada tekanan PKR dan DAP,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan PR yang sebulat suara menolak idea kerajaan perpaduan biarpun hasrat mewujudkan kerajaan perpaduan pada mulanya dikemukakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa muktamar Pas ke-55, beberapa minggu lepas.

Dalam pada itu, Isa berkata, tindakan Pas menyalahkan UMNO dalam penolakan ini menggambarkan sikap Pas yang tidak pernah berubah dari mencari salah UMNO dalam setiap apa yang berlaku.

“Pas memang macam tu, dari dulu lagi...mereka tidak pernah akui kesilapan sendiri,” katanya.

Katanya, Pas merupakan parti yang tidak berprinsip dan mereka hanya berpegang kepada prinsip berjuang atas nama Islam dalam meraih sokongan rakyat.

“Mereka tiada prinsip tetapi, satu kelebihan pas...mereka bijak dalam mengelirukan penyokong mereka,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, UMNO sememangnya bersedia dan tidak boleh menolak dalam mengadakan perbincangan dengan Pas mengenai kerajaan perpaduan namun, sebaliknya apabila timbul masalah dalaman dalam Pas, UMNO pula dipersalahkan.

“Kenapa pula UMNO harus dipersalahkan? Bukan kita yang membuat tawaran itu. Inilah Pas. Mereka cari alasan baik dengan menuduh UMNO dan BN,” katanya.

Penolakan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu diumumkan oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas satu pertemuan pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang di Bangunan Parlimen.

No comments:

Post a Comment