Jun 4, 2009

PERKUKUHKAN DALAM PAKATAN :SALAHUDDIN


Dewan Pemuda Pas mahu parti itu mengukuhkan kedudukannya dengan menjadi tulang belakang dalam Pakatan Rakyat.


Dalam masa yang sama, sayap parti itu mahu golongan ulama terus memimpin dengan dibantu para profesional dan aktivis. Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, Pas bukan 'sleeping partner' kepada pakatan pembangkang atau sekadar pelengkap kepada kebangkitan parti-parti pembangkang.


Malah beliau mahu Pemuda Pas memainkan peranan terbesar pemimpin golongan muda ketika parti Islam itu dilihat sebagai alternatif untuk menggantikan UMNO.''Maka generasi baru Pemuda Pas juga perlu membuat kajian dan perancangan yang lebih strategik kerana kita mahu peranan Pas dalam Pakatan Rakyat diperkukuhkan.


''Pemuda Pas adalah tenaga utama dalam meningkatkan peranan Pas itu dan ia perlu diberikan suntikan perangsang yang baru," katanya.


Salahudin yang telah memimpin sayap parti itu selama tiga penggal berkata, pengukuhan peranan Pas tidak bermaksud untuk menguasai Pakatan Rakyat dan parti lain menjadi pengikut.


''Saya sedar semua parti adalah pelengkap antara satu sama lain. Tetapi saya mahukan dalam apa aspek pun peranan dan sumbangan gerak kerja Pas dalam memperkasakan pakatan pembangkang dipertingkatkan," katanya.

No comments:

Post a Comment