Jun 23, 2009

PAS, WAYANG KULIT, -KOH TSU KOON

KUALA LUMPUR - Setelah bercita-cita tinggi agar Kerajaan Perpaduan menjadi kenyataan. Kini hampir semua pemimpin Barisan Nasional terutama Umno terkilan tindakan Pakatan Rakyat menolak cadangan itu.

Tindakan Pas menolak cadangan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar diwujudkan kerajaan perpaduan memperlihatkan ketidakjujuran parti itu untuk mengadakan perbincangan ke arah kebaikan, kata beberapa pemimpin Barisan Nasional.

Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon menyifatkan tindakan Pas itu sebagai "wayang kulit".

"Ini memang sudah dijangka. Ini semua hanya wayang kulit. Memang ada percanggahan dalam Pakatan Rakyat," kata Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata beliau melihat Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih suka berbincang dengan DAP berbanding Umno.

"Apa salahnya kalau kita duduk berbincang. Pada saya menolak terus inilah gambaran kejujuran PAS," katanya.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno pula melahirkan rasa dukacita ekoran tindakan Pas menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan.

"Ini hal yang mendukacita kepada kita semua khususnya orang Melayu. Bukan nak tubuhkan (kerajaan perpaduan). Kalau nak duduk pun tak boleh, ini memang merugikan kita," katanya.

Bagaimanapun, Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, berkata penolakan itu tidak mengecewakan Umno.

No comments:

Post a Comment