1 Oktober 2012
Penduduk, M Jayaraman, 50, berkata, masalah itu menyebabkan kediamannya dan penduduk lain yang berada di kedudukan rendah kerap dimasuki air setiap kali hujan lebat walaupun dalam tempoh seketika.
“Masalah ini sudah berlanjutan sejak 10 tahun lalu dan saya sendiri sudah mengadukannya kepada pihak berwajib dan wakil rakyat kawasan beberapa kali, namun hingga ke hari ini masih belum ada sebarang tindakan diambil.
“Setiap kali hujan, air longkang dari kawasan tinggi yang tidak mengalir dengan lancar akan melimpah ke jalan raya seterusnya memasuki pekarangan dan dalam rumah yang terletak di kawasan rendah.
“Keadaan ini menyebabkan perabot dan perkakas elektrik rumah kami terpaksa diganti baru kerana mengalami kerosakan,” katanya.
Jayaraman berkata, sebagai alternatif untuk mengelakkan rumahnya terus dimasuki air, dia ada membina benteng menggunakan batu bata selain membuat lubang bagi memastikan limpahan air tersebut mengalir ke longkang.
Bagaimanapun katanya, tindakan diambil tidak memberi kesan, sebaliknya hujan lebat terus membawa limpahan air sehingga kadang kala boleh mencapai paras buku lali memasuki rumahnya.
“Saya lihat penyelesaian masalah ini adalah membesarkan sistem perparitan khususnya di kawasan tinggi selain memastikan ia tidak tersumbat dengan sampah sarap. Jika perkara ini tidak diambil serius, sampai bila-bila kami terpaksa melalui masalah ini,” katanya.
Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, tandatangan penduduk yang tidak berpuas hati mengenai masalah ini sedang cuba dikumpul untuk diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Biro Pengaduan Awam (BPA).
“Kami mahu menekan pihak PBT supaya mereka dapat bertindak segera demi kesejahteraan penduduk. BPA juga akan diberitahu mengenai masalah yang sudah diadukan beberapa kali, tetapi tidak diambil perhatian pihak berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment