Jul 24, 2009

TARIF BARU ELEKTRIK

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tarif baru elektrik akan dikaji dengan mendalam berikutan harga gas yang semakin meningkat.

:Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata peningkatan harga gas itu menyebabkan Petronas terpaksa menanggung subsidi dalam jumlah yang sangat besar setiap tahun.

:Katanya, kesemua peruntukan yang digunakan oleh Petronas untuk menampung subsidi tersebut seharusnya boleh disalurkan kepada kerajaan bagi membiayai pelbagai projek dan memenuhi keperluan rakyat.

:“Harga gas semakin meningkat dan Petronas terpaksa mengeluarkan RM6.4 bilion setiap tahun. Wang itu boleh disalurkan kepada kerajaan untuk dibelanjakan ke atas pelbagai projek dan untuk rakyat, tapi ia perlu digunakan untuk pelbagai subsidi,” katanya.

:Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai kenaikan baru tarif elektrik berikutan kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui bahawa kertas kerja mengenai kenaikan itu akan dibentangkan kepada Kabinet.

:Peter Chin pada 17 Julai lepas berkata keputusan mengenai tarif baru elektrik dijangka berkuat kuasa mulai bulan depan jika kertas kerja mengenainya diluluskan Kabinet.

:Menurutnya, kenaikan itu yang melibatkan keseluruhan pengguna elektrik dalam negara termasuk pihak komersil dan pengguna biasa telah mendapat kelulusan daripada Majlis Ekonomi Negara.

:Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta agar tiada sebarang spekulasi dibuat mengenai perkara itu kerana segalanya masih dalam pertimbangan kerajaan.

:“Saya tidak tahu..kami tidak tahu (kenaikan tarif elektrik). Jangan buat spekulasi apa-apa,” katanya.

:Dalam perkembangan lain, Najib yang baru menyelesaikan lawatan kerja selama empat hari ke Arab Saudi berkata beliau telah mencadangkan supaya sya�rikat telekomunikasi Maxis disenaraikan semula di Bursa Malaysia.

:Penyenaraian itu katanya, akan meningkatkan kecairan di dalam pasaran dan menarik perhatian lebih ramai pelabur untuk melabur di dalam syarikat yang berpegangan kukuh.

:“Mereka (pelabur) memiliki pegangan yang kukuh untuk melabur dalam syarikat yang ditadbir dan diurus dengan sistematik. Saya harap ia akan menjadi kenyataan dalam masa yang terdekat,” katanya.

:Maxis dikeluarkan dari senarai Bursa Malaysia secara rasmi pada 25 Jun 2005 berikutan proses penswastaan syarikat telekomunikasi itu oleh Binariang GSM Sdn Bhd.

:Sementara itu, ketika mengulas mengenai desakan negara-negara Asean supaya Myanmar memberikan kerjasama yang lebih menyeluruh untuk negara itu segera melaksanakan proses demokrasi, Najib berkata Malaysia dan Myanmar masih berbincang mengenai perkara itu.

:“Kita masih berunding dengan Myanmar agar pelaksanaan yang lebih serius dapat dilaksanakan,” katanya. Bernama

No comments:

Post a Comment