KOTA BAHARU - Pas mendakwa penduduk di Manik Urai yang akan memilih Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) baru mereka pada pilihan raya kecil 14 Julai ini, tidak memerlukan wakil rakyat yang berpendidikan tinggi.
Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fattah Harun berkata, tidak seperti anggota Parlimen yang mempunyai tanggungjawab di peringkat persekutuan, tugas Adun hanya terhad di kawasan yang diwakilinya sahaja.
“Wakil rakyat tidak semestinya berpendidikan tinggi. Lainlah sekiranya dia adalah wakil kerajaan Persekutuan (anggota Parlimen).
“Pengundi Manik Urai boleh terima dan tidak mengira isu pendidikan. Wakil rakyat nak jumpa (wakil) kerajaan tidak semestinya ada pendidikan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas berakhirnya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Pas meletakkan pemborong ikan, Mohd Fauzi Abdullah, 50, yang juga Bendahari Pas Bahagian Kuala Krai sebagai calon mereka, manakala Barisan Nasional (BN) meletakkan Tuan Aziz Tuan Mat, 39, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai calon mereka pada pilihan raya kecil itu.
Pengumuman calon Pas dibuat Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 26 Jun lalu sementara pengumuman calon BN dibuat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin 28 Jun lalu.
Ketika ditanya kenapa Mohd Fauzi setakat ini belum dapat ditemu bual pemberita, Abdul Fattah berkata calon itu kini begitu sibuk bertemu dengan rakyat.
"Masa tidak mengizinkan lagi untuk (pemberita) menemu bual calon kita. PAS Kelantan akan memperuntukkan satu masa yang sesuai untuk membolehkan pemberita mengadakan temu bual dengan beliau dalam tempoh secepat mungkin," katanya.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob dari PAS pada 22 Mei lepas. Penamaan calon ditetapkan pada 6 Julai.
No comments:
Post a Comment