Jul 4, 2009
NAZRI MELENTING DENGAN SUHAKAM TENTANG PERAK
Kerajaan Umno-Barisan Nasional berang dengan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Abu Talib Othman yang menggesa pilihanraya diadakan segera di Perak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz berkata Abu Talib tidak lagi layak mempengerusikan badan hak asasi manusia itu kerana tidak berpendirian neutral dalam krisis politik di negeri Darul Ridzuan.
Pada Mei lalu, Abu Talib dipetik sebagai berkata rakyat Perak harus diberi pilihan untuk melaksanakan tanggungjawab menentukan kerajaan kehendak mereka.
“Ini adalah asas hak asasi manusia,” tegas Abu Talib.
Abu Talib berkata demikian ketika dimitna mengulas perlantikan Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak dan kejadian Speaker V Sivakumar diheret keluar dari Dewan Undangan Negeri atas arahan Umno-BN.
Nazri berkata kenyataan bekas Peguam Negara itu bersifat subjudis dan boleh mempengaruhi kes kerajaan Perak.
“Itu ada pandangan beliau. Beliau ada kebebasan untuk menyatakan pandangannya. Bagaimanapun bagi saya, beliau tidak wajar menyatakan demikian,” kata Nazri semasa membahaskan Rang Undang-Undang Suhakam (Pindaan) 2009.
“Sebagai bekas pendakwa raya nombor satu negara, Peguam Negara, beliau tidak harus mempengaruhi hakim memandangkan kes masih dalam pertimbangan mahkamah. Sangat jelas ia adalah subjudis,” katanya lagi.
Beliau seterusnya mengingatkan para persuruhjaya Suhakan harus neutral dan tidak dilihat menyebelahi mana-mana pihak.
Menjawab peringatan Nazri itu, ahli Parlimen Tian Chua (PKR-Batu) menarik perhatian Dewan Rakyat kepada keputusan kerajaan melantik peguam Umno, Muhammad Shafee Abdullah sebagai persuruhjaya Suhakam.
Tian Chua mempersoalkan mengapa Shafee yang terbabit sepenuh masa dalam politik sebagai penasihat dan peguam kepada Umno dilantik sebagai persuruhjaya.
Tian menambah dwi-peranan Shafee ini satu percanggahan serius kerana dalam pada dia dituntut supaya bersifat neutral sebagai seorang persuruhjaya, dia juga perlu memastikan kemenangan undang-undang berpihak kepada Umno-BN.
Abu Talib, mengeluarkan kenyataan berdasarkan interpretasi beliau keatas hak asasi manusia. Ini adalah berbeza dari kes seorang peguam yang dilantik untuk mewakili sebuah parti politik,” tegas Tian.
“Bukan sahaja beliau aktif dalam politik, tetapi juga dia dilantik dan masih seorang persuruhajaya. Ini amat mengelirukan – bagaimana boleh seorang persuruhajaya Suhakam mengambil bahagian dalam kes-kes politik?” kata Tian.
Nazri menjawab Abu Talib tidak perlu mengulas mengenai isu Perak kerana kes tersebut tidak termasuk dibawah bidang kuasa Suhakam.
Sementara Shafee pula, kata Nazri lagi, bergerak atas asas profesionalisma sebaik sahaja dia dilantik mewakili anak guam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment