Jul 17, 2009

MINDA ORANG MELAYU BILA NAK BERUBAH

Jika kita selusuri pola masyarakat Malaysia dari sudut kesedaran politik, kaum bumiputera khususnya Melayu jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan masyarakat Cina dan India. Di kalangan masyarakat India pula telah berlaku satu perubahan mendadak dari segi sikap dan kesedaran politik dalam PRU12 lalu.


Namun perubahan dan sokongan ini belum boleh dijadikan sebagai indikator bahawa mereka akan terus bersama Pakatan Rakyat dalam PRU13 nanti. Namun apa yang ditunjukkan mereka dalam PRU12 merupakan satu gelombang yang mengejutkan UBN sehingga kehilangan 5 negeri. Kini tinggal 4 negeri saja setelah Perak dirampas dengan cara paling tak bermoral.

Apa yang nak saya sentuh di sini ialah sikap dan minda pengundi Melayu. Mengapa sehingga ke saat ini UMNO masih menguasai antara 60 - 65% pengundi Melayu ? Di mana silap dan kelemahan PAS sehingga masih gagal untuk meraih sokongan ini.

Persoalannya ;

- Apakah selama ini PAS hanya syok sendiri bila melihat ramai yang hadir dalam setiap ceramahnya sehingga terlupa kehadiran yang ramai itu adalah di kalangan ahli dan penyokong saja.

- Adakah selama ini kerja dakwah dan penerangan PAS tidak sampai ke sasaran di setiap lokaliti ?

- Benarkah di sesetengah negeri, PAS suka buat kerja "last minutes" sedangkan semua ahli PAS cukup hafaz Surah As-Saff ?

- Adakah PAS hanya mahu menungggu "isu besar" lagi berlaku dalam negara dan mengharapkan pengundi Melayu sedar ?

- Adakah selama ini PAS hanya bermatlamat nak menang pilihanraya semata-mata sehingga terlupa kerja-kerja dakwah menyeru umat kembali kepada pegangan 'Aqidah yang murni ?

Jika dilihat kepada senario ini, terbukti majoriti pengundi Melayu masih "buta" kayu tentang 'Aqidah Islam yang sebenar. Mereka hanya tahu 'Aqidah boleh rosak jika menyembah berhala, memuja keramat atau murtad. Ekoran dari itu, para pengundi Melayu yang menjadi ahli dan penyokong UMNO merasakan 'Aqidah mereka betul sebab mereka tak pernah menyembah berhala, tidak pernah memuja keramat. Mereka juga mengucap, mendirikan solat, berpuasa, keluar zakat dan pergi haji.

Dan pada anggapan mereka adalah tidak salah menyokong UMNO dan mengundi BN dalam setiap pilihanraya kerana ini hanya melibatkan soal pangkah saja dan tiada bersangkut paut dengan persoalan 'Aqidah. Seperkara lagi mereka merasakan jika tidak menyokong UMNO, maka parti orang Melayu akan hilang. Dakwa mereka yang UMNO pun bela Islam. Kalau UMNO takde, siapa yang nak jaga Melayu ?

Inilah di antara fahaman dan doktrin yang telah terpasak dalam fikiran masyarakat Melayu kita sehinggalah ke hari ini. Cukup sukar untuk ditembusi "tembok khurafat" yang sudah sedia tertanam sejak merdeka lagi. Sebab itulah bila berlaku Isu Pemecatan DSAI pada tahun 1998, ianya masih belum mampu untuk mengubah minda mereka. Hanya mampu kekalkan Kelantan dan menawan Terengganu. Kemudian dalam PRU11 kita hilang Terengganu.

Saya sengaja sebutkan Terengganu kerana jumlah pengundi Melayu di negeri ini secara keseluruhan lebih kurang 95%.

Perlu disedari majoriti pengundi Melayu tinggal di kawasan luar bandar. Orang kampung. Bila sebut pasal orang kampung, masyarakat Melayu memang terkenal dengan persatuan-persatuan mereka di kampung masing-masing. Contohnya Pakatan Kerja Kahwin, Persatuan Yasin Wanita, Persatuan Kompang, Kumpulan Marhaban Wanita, Persatuan Khairat Kematian, Persatuan Silat dan lain-lain lagi. Kemudian orang Melayu cukup menghormati individu-individu seperti Penghulu, Ketua Kampung, Imam Surau dan Mesjid, Guru Biasa dan Guru Agama. Individu-individu ini biasanya menjadi tempat rujukan dan ikutan mereka.

Seperkara lagi ialah tentang sikap dan perangai orang Melayu sejak turun-temurun suka mengikut rentak majoriti masyarakat kampung masing-masing. Jika majoriti masyarakat kampung itu menyokong UMNO, mereka akan ikut sebab takut dipulaukan.

Oleh kerana UMNO tahu fakta ini, sebab itulah akan dipastikan setiap individu yang nak dilantik sebagai Penghulu, Ketua Kampung, Imam Surau dan Mesjid mestilah di kalangan ahli UMNO. Begitulah juga dengan jawatan-jawatan lain yang dikira penting peranannya di kampung dan boleh membawa keuntungan kepada UMNO.

Kesimpulannya, apakah yang perlu PAS lakukan untuk menembusi tembok ini ? Tidak dinafikan memang sukar dan penuh cabaran namun pasti ada jalan. Bila jumpa 'kuncinya' pasti boleh dibuka pintu yang terdapat di tembok ini.

Bila berpolitik dengan orang kampung, buatlah cara kampung. Tak payah buang masa cerita isu nasional dengan mereka. Orang kampung ni bila mereka dapat surau cantik, dapat bantuan pinggan mangkuk untuk pakatan mereka, YB mereka rajin jengok kampung dan sembang kat kedai kopi, dapat peruntukan jamuan untuk program Maulid dan lain-lain, maka mereka rasa puas dan seronok. Bila tiba Hari Raya, YB mereka buat rumah terbuka dan dapat makan percuma. Lepas tu mereka rasa terhutang budi pada YB. Inilah minda dan politik orang Melayu di kampung-kampung.

Manakala golongan yang makan gaji dengan kerajaan pula menghidap "sindrom kurang daya tahan amaran dan ugutan". Mereka tahu UMNO tu tak betul tapi takut nak undi pembangkang sebab diugut dengan kata-kata agen UMNO yang menyebut "Kami tahu jika pegawai-pegawai kerajaan undi pembangkang". Walhal bukannya ada nombor siri pun dalam kertas undi. Inilah yang dikatakan takut dengan benda takde. Lainlah kalau mereka memang bergiat cergas dalam parti pembangkang.

PAS must do something different. No more last minute work. If PAS could not change it, I don't know what to say.

Wahai saudaraku, jadilah umat Islam yang bermaruah dan bijak. Peliharalah diri dan keluarga dari bakaran Api Neraka. Janganlah disebabkan nilai dunia yang sedikit, 'Aqidah dikorbankan.

Dalam Surah Al-Baqarah (2) : ayat 208 yang bermaksud ;

"Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam seluruhnya (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang sangat nyata."

Dalam Surah An Nisaa' (4) : ayat 59 yang bermaksud ;

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

No comments:

Post a Comment