Jul 30, 2009

NIK AZIZ BUKAN PEJUANG ISLAM SEBENAR



KUALA LUMPUR 28 Julai - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai seorang ulama, Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata kesat atau memaki hamun pihak lain.

Katanya, Menteri Besar Kelantan itu seharusnya memberi contoh terbaik kepada ummah dan bukannya memaki hamun dan mengeluarkan kenyataan yang kurang sopan kepada pihak lain.

"Nik Aziz juga tidak sepatutnya melabelkan mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengannya sebagai menyimpang dari perjuangan Islam sebenar.

"Ini kerana, Nik Aziz sendiri bukan seorang pejuang Islam sebenar dan tidak bersifat sempurna atau maksum seperti Nabi. Justeru, beliau tidak berhak mengeluarkan kenyataan yang bersifat seolah- olah tidak bertamadun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Nik Aziz yang menyebut ungkapan kurang sopan 'pergi jahanamlah UMNO' ketika diminta mengulas 'salam' kerjasama di antara UMNO dan Pas.

Semalam, Mursyidul Am Pas itu menjelaskan, 'salam' kerjasama yang dihulurkan sebelum ini adalah atas hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri yang tiada kaitan sama sekali dengan kesediaan membentuk kerjasama antara Pas dan UMNO.

Menurut Nik Aziz, beliau tetap dengan pendirian menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan UMNO kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Ahmad Zahid menambah, jika Nik Aziz atau kerajaan negeri Kelantan mahu berbaik-baik dengan kerajaan Pusat hanya kerana ada udang di sebalik batu, lebih baik lupakan sahaja hasrat tersebut.

Ini kerana, jelasnya, Nik Aziz sendiri tidak pernah ikhlas untuk menjalin hubungan dengan mana-mana pihak sama ada kerajaan Pusat atau UMNO sendiri.

"Lupakan saja hasrat tersebut," ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment