Jul 28, 2009

KERJASAMA DENGAN PUSAT BUKAN DENGAN UMNO-TOK GURU

KB: Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kesediaan beliau menghulur tangan untuk berbaik-baik bukanlah dalam konteks Pas dan Umno tetapi antara kerajaan Kelantan dan kerajaan pusat.

Katanya laporan akhbar yang menyatakan beliau Pas dan Umno bekerjasama adalah tidak tepat dan di luar daripada maksud kenyataan beliau.

"Saya cakap antara kerajaan (negeri) dengan kerajaan (pusat). Untuk apa nak bekerjasama dengan Umno," katanya selepas melawat Karnival Peladang, Penternak dan Nelayan Kelantan 2009 di Padang Perdana di sini Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataannya sebeklum ini untuk melupakan sengketa politik antara kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pas dan kerajaan pusat dalam usaha menjaga kepetingan rakyat dan perpaduan Islam.

Kenyataannya itu mendapat reaksi positif Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata ia akan membuka lembaran baru dalam kerjasama antara kedua-dua pihak.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am Pas, berkata hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat perlu ditingkatkan berdasarkan kepada perlembagaan yang ada.

"Kerajaan pusat ada kewajipan membantu kerajaan negeri. Kita bukan minta tetapi ini hak perlembagaan yang menetapkan peruntukan itu disalurkan," katanya.

Beliau berkata Pas tidak bercadang untuk mengadakan hubungan peringkat parti dengan parti sebagaimana berlaku semasa zaman Allahyarham Tun Abdul Razak "kerana kesan daripada hubungan itu masih terasa". / Bernama

No comments:

Post a Comment