Penternak dakwa kerugian
20 Januari 2013
Pengerusi Koperasi Penternak Lembu Tenusu Negeri Johor Berhad, Sashi Kanan berkata, pihaknya menerima aduan daripada 50 penternak yang melibatkan kecurian hampir 500 kambing dan 100 lembu.
Menurutnya, ada beberapa kes penternak mengalami cedera parah apabila ditetak sekumpulan pencuri sebelum mengikat dan mengugut mangsa sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan penternak lain.
“Kita difahamkan sekumpulan pencuri akan memecah masuk ladang sekitar jam 1 hingga 2 pagi bersenjatakan parang dan beberapa senjata tajam lain.
“Walaupun laporan polis sudah dibuat, namun selepas lebih dua tahun, kita belum lihat tindakan berkesan dapat diambil sehingga masalah ini berlarutan,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Dalam pada itu, seorang penternak di Masai, C Vijayan, 31, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila empat ekor lembu tenusu miliknya dicuri dalam kejadian 7 Januari lalu.
Menurutnya, kehilangan ternakannya hanya disedari pada awal pagi ketika mendapati pintu pagar ladang dipecahkan dan mendapati lembu tenusu miliknya yang berjumlah 30 ekor hanya berbaki 26 ekor.
“Saya bimbang kejadian sama berulang sekiranya polis tidak mengambil tindakan berkesan kerana pernah ternakan lembu didatangi pencuri sebanyak dua kali dalam kejadian berasingan.
“Lebih membimbangkan apabila kumpulan pencuri ini turut menggunakan senjata tajam, malah pernah ada pekerja yang mengalami cedera parah akibat ditetak,” katanya.
Seorang lagi penternak, P Suppiah, 59, berkata, kejadian curi yang berlaku saban minggu bukan sahaja membimbangkan penternak, malah menakutkan mereka.
Menurutnya, kehadiran 15 hingga 20 pencuri dalam satu kumpulan bersenjatakan parang menyasarkan lembu tenusu kerana lebih bernilai berbanding lembu kampung.
“Kalau kita ada lima orang pun memang tak mampu nak lawan kerana mereka datang dalam kumpulan besar bersenjatakan parang sehingga anjing yang dibela turut dibunuh.
“Kami minta perkara ini diselesaikan segera kerana kami sangat takut sehingga tidur malam pun tak lena memikirkan keselamatan diri dan ternakan,” katanya.
Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan membuat pertemuan antara penternak dengan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff pada minggu depan.
sory le polis nak siasat pak lembu kes sharizat lembu betina tu pun blum selesai.
ReplyDelete