PASIR GUDANG - Pakatan Rakyat (PR) meluahkan rasa kesal terhadap tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang yang membuat provokasi di luar hotel ketika Ceramah Umum PR, di sini, malam Ahad lalu.
Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas Negeri, Syed Othman Syed Abdullah mendakwa, tindakan menaikkan pelbagai kain rentang ketika Ceramah Umum PR menunjukkan Pemuda masih mengamalkan politik tidak matang.
Menurutnya, PR tidak pernah mengganggu kehadiran pemimpin Barisan Nasional (BN) ke Ceramah Umum yang diadakan di sini, sebelum ini.
“Kami kesal dengan kehadiran orang muda ke program PR dengan menaikkan pelbagai kain rentang yang jelas menunjukkan politik kosong cubaan mengganggu orang lain.
“Kami tidak pernah menimbulkan kacau ganggu ketika ceramah BN, malah kami hadir ke Ceramah Umi Hafilda yang diadakan baru-baru ini untuk mendengar apa isi ceramahnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Syed Othman berkata, isu RM10 yang dikenakan untuk masuk ke Ceramah Umum PR tidak perlu diperbesarkan kerana bayaran berkenaan adalah kutipan dana Pilihan Raya Umum (PRU).
Menurutnya, malam berkenaan juga turut dilancarkan baju PR yang mempunyai lambang tiga parti iaitu Pas, PKR dan DAP yang sentiasa bersatu dalam semua perkara.
“Program julung kali dibuat di Pasir Gudang ini bertujuan mengumpulkan dana selain merapatkan hubungan PR dan memfokuskan isu semasa, terutama mempertahankan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana masih belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
“Hampir 700 orang yang hadir membuktikan keyakinan luar biasa penduduk di Pasir Gudang yang semakin bersedia membuka minda dan akan kita teruskan program ini pada masa akan datang untuk menarik kehadiran masyarakat berbilang kaum.
“Kita akan berusaha menawan hati pengundi terutama warga Pasir Gudang untuk membuat sesuatu yang baik dan satu kejutan sekiranya PR diberi kuasa dalam PRU akan datang,” katanya.
Ceramah Umum berkenaan dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Chang Lih Kang; ADUN Sekinchan, Ng Swee Lim; ADUN Skudai, Dr Boo Cheng Hau dan bekas calon ADUN Tenang, Normala Sudirman.
No comments:
Post a Comment