Apr 13, 2011

PAS bimbang hasil kekayaan tidak dinikmati rakyat

Apa yang dibimbangi oleh PAS itu kini sudah menjadi kenyataan. Rakyat Sabah dan Sarawak miskin walaupun kedua-dua negeri itu kaya dengan hasil bumi.[Image]PAS menolak dakwaan Perdana Menteri Najib Tun Razak bahawa parti itu menentang kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia tetapi sebenarnya bimbang hasil kekayaan kedua-dua negeri itu tidak dinikmati oleh rakyatnya.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, “apa yang dibimbangi oleh PAS itu kini sudah menjadi kenyataan sekarang. Rakyat Sabah dan Sarawak miskin walaupun kaya dengan hasil bumi.
“Pakatan Rakyat menjanjikan royalti minyak 20 peratus kepada kedua-dua negeri, sedangkan Barisan Nasional (BN) hanya memberikan lima peratus,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib bahawa PAS menentang kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia pada suatu ketika dahulu.
“Antara isu yang dibawa PAS dahulu, sewaktu kita nak tubuh Malaysia ialah mereka menentangnya, jangan kita lupa dari segi sejarahnya dan hari ini rakyat Sarawak semakin makmur kerana telah merdeka dalam Malaysia.

“Jangan kita layan orang yang telah menafikan sesuatu yang baik untuk rakyat Sarawak, mengikut sejarah yang tubuh Malaysia ialah kerajaan pimpinan BN atau dahulunya dinamakan, Perikatan.
“Dengan kerjasama parti-parti dari Sarawak dan Sabah yang kemudiannya bergabung sebagai satu komponen telah merintis ke arah Wawasan 2020,” kata perdana menteri dalam satu majlis di Betong, Sarawak semalam.
Sementara itu, di Sibu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa pembangkang memainkan sentimen agama kononnya BN anti Kristian untuk meraih undi cara mudah.
Mengulas dakwaan tersebut, Tuan Ibrahim berkata, rakyat Sarawak mempersoalkan tindakan kerajaan meluluskan buku al Kitab menjelang pilihan raya negeri Sarawak.
“Mengapa sebelum ini tidak diluluskan tetapi apabila ada pilihan raya, ia diluluskan. Kalau dituduh kita menggunakan agama, mengapa PAS diterima baik oleh pengundi kaum Iban yang beragama Kristian?
“Mereka yang tinggal di rumah panjang menerima PAS dan ini sekaligus menolak dakwaan Muhyiddin itu,” katanya lagi.
Sabah dan Sarawak menyertai Malaya dan Singapura untuk bergabung bagi membentuk sebuah negara persekutuan Malaysia pada tahun 1963.sumber blog 

No comments:

Post a Comment