Apr 23, 2011

Kenapa UMNO BN bermati-matian mahu cemar nama baik Anwar?

SHAH ALAM 22 APRIL : Tv3 selesai merakamkan siri laporan terbaru merangkumi tuduhan- tuduhan seks terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Ketua Pembangkang itu bergelut dengan fitnah video lucah 'Datuk T', sumber- sumber memberitahu Tv Selangor.
Laporan yang bakal disiarkan di Buletin Utama itu akan menyaksikan S. Nallakarupan membuat pelbagai dakwaan terhadap Anwar, sumber- sumber yang rapat dengan bekas pemimpin MIC itu mengesahkan.
“Kemungkinan besar dakwaan- dakwaan Nallakarupan itu akan disiarkan dalam tempoh terdekat untuk memberikan lebih tekanan kepada Anwar, “ kata sumber itu tanpa mengulas lanjut.

Kebanyakan dakwaan- dakwaan Nalla itu “bukan perkara baru,” cuma disadurkan dengan butir- butir terperinci dalam usaha meyakinkan rakyat terutama pengundi Melayu, kononnya Anwar pemimpin tidak bermoral.

Rasanya tidak perlu dihuraikan rekod Nalla, seorang rakan karib Anwar yang kemudian merajuk dan berpaling tadah apabila tidak dipilih menjadi calon untuk pilihanraya kecil Ijok pada tahun 2006.

Hakikatnya adalah, dakwaan dan tuduhan terhadap Anwar diperhebatkan di Tv3 dan media arus perdana kawalan UMNO sejak pilihanraya Sarawak.

Walaupun PRN Negeri itu sudah berlalu, namun serangan terhadap Anwar tetap dipanjangkan dan menimbulkan persepsi BN, khususnya UMNO,  sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihanraya umum dalam tempoh terdekat.

Awal minggu ini, Parti Keadilan Rakyat memberi amaran kepada rakyat bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tetap akan mencari ikhtiar untuk mendakwa Anwar bersabit video lucah Datuk T.

Ramalan itu terbukti benar apabila pejabat Peguam Negara memulangkan kertas siasatan kepada polis kerana tidak berpuas hati dengan rumusan yang dibuat oleh badan itu.

Justeru arahan diberi kepada polis untuk menyiasat lagi kes video lucah tanpa terikat kepada sebarang tarikh untuk menyiapkan siasatan.

Pada masa sama, Berita Harian, sebuah lagi akhbar kawalan UMNO memetik sumber- sumber sebagai mendakwa sebuah agensi penyiaran Korea Selatan kononnya mengesahkan pelaku dalam video 'Datuk T' sepadan dengan badan Anwar menerusi ujian bio metrik.

Semua “fakta- fakta” ini adalah untuk mempengaruhi rakyat, khususnya pengundi Melayu supaya menolak Anwar dan pada masa sama merencatkan hubungan PKR pimpinan Anwar dengan PAS dan DAP.

Perkembangan terbaru memberi petanda jelas bahawa rakyat Malaysia harus bersedia untuk disajikan dengan pelbagai fitnah terhadap Anwar bersabit video 'Datuk T'.

Pada masa sama, individu- individu seperti Nalla dan Umi Hafilda dipergunakan untuk menabur tuduhan- tuduhan lain terhadap Anwar.

Kenapa begitu banyak tumpuan diberikan oleh kerajaan pimpinan UMNO, polis dan pejabat Peguam Negara terhadap kes Anwar ?

Jawapannya berkait dengan Piliharaya Umum ke- 13 dan pemilihan UMNO yang akan datang. Kedua- duanya mempunyai impak besar ke atas kelangsungan jangka hayat politik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Para strategis UMNO menjangka peluang parti itu menguasai pengundi Melayu atas pagar akan cerah jika ia  berjaya memusnahkan kredibiliti Anwar sebagai pemimpin Islam dan menampilkan beliau sebagai peliwat dan kaki perempuan.

Analisis yang dijalankan oleh Biro Tata Negara menunjukkan pengundi Melayu amat menitik- beratkan soal agama dan moral – justeru itu Anwar menjadi sasaran tuduhan seks bertalu- talu dalam hasrat UMNO untuk memberi isi kepada persepsi itu.

Justeru tidak sukar memahami kenapa video lucah 'Datuk T' dimainkan di kem- kem BTN sebagaimana yang didedahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Pengundi atas pagar kaum Melayu memegang kunci untuk memastikan sama ada Najib akan dapat merebut balik majoriti dua pertiga di Parlimen atau kecundang terus di medan pilihanraya kepada Pakatan Rakyat pimpinan Anwar.

Jika Najib tewas atau gagal menawan balik majoriti dua pertiga BN, usia remaja beliau sebagai PM dan Presiden UMNO akan mendapat saingan hebat daripada gandingan Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

Walaupun pemilihan UMNO masih dilihat sebagai jauh lagi, garisan- garisan pertempuran (battlelines) sedang pun dilakar dan kem- kem tertentu dibentuk dan dipupuk.

Kunci kepada siapa sokong siapa dan siapa lawan siapa akan berpaksi kepada pencapaian Najib pada PRU 13 – jika BN menang majoriti dua pertiga – Najib akan dijulang sebagai penyelamat maruah Umno.

Jika tidak, beliau dan gagasan 1Malaysia akan dikritik sebagai penyebab maruah Melayu tergadai di bumi sendiri.

Berasaskan sifir politik ini, bukanlah menjadi misteri kenapa Anwar Ibrahim harus ditumbangkan dalam apa cara sekalipun sebelum Najib mengadakan pilihanraya umum.

Hanya apabila yakin cabaran Anwar sudah ditumpulkan, kredibiliti dan maruah beliau sudah musnah di mata rakyat, maka hanya pada masa itu, Najib akan mendapat “ilham” untuk memanggil pilihanraya umum.
Sementara menunggu detik itu, rakyat khususnya pengundi Melayu harus melazimkan diri dengan membaca “cerita bukan-bukan” mengenai Anwar di muka depan Utusan Malaysia, Berita Harian dan menonton topik yang sama menerusi RTM serta TV3.

1 comment:

  1. Pemimpinx DUNIA mengakui DSAI adalah seorang pemimpin yang berkarisma.Jika dibandingkan
    pemimpinx BN dengan pemimpinx PR SAHAJA jelas
    terbukti yang pemimpinx PR JAUH LEBIH BAIK dari
    merekax ini.Andai ditakdirkan DSAI disumbat ke
    penjara, PR mempunyai pemimpinx PELAPIS yang jauh lebih baik dari pemimpinx BN untuk menggantikan beliau.Yang nyata rakyaat telah
    menolak BN!!

    ReplyDelete