PAS cabar Kimma beri bukti
PASIR GUDANG – PAS mencabar Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) mengemukakan bukti kukuh berhubung dakwaan presidennya ditawarkan imbuhan beberapa juta ringgit sekiranya bersetuju menyokong pembangkang.
Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, dakwaan yang dilemparkan Presiden Kimma, Datuk Syed Ibrahim Kader terhadap pembangkang adalah tidak berasas sama sekali.
Menurutnya, sekiranya benar pemimpin pembangkang cuba memberi sogokan wang jutaan ringgit, kenapa beliau ti:dak membuat laporan polis ataupun ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu.
“Beliau seorang Presiden seharusnya peka soal kesalahan rasuah yang kononnya cuba disogokkan oleh seorang pemimpin pembangkang untuk mendapatkan sokongan Kimma.
“Kita mencabar beliau buktikan dan dedahkan kepada rakyat siapa pemimpin pembangkang yang menawarkan sogokan wang tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, kelmarin.
Syed Othman berkata, Presiden Kimma diharap tidak mencari publisiti murahan dengan membuat tuduhan melulu tanpa ada asas atau bukti yang kukuh atau sengaja ingin mencari sokongan politik murahan.
Menurutnya, seharusnya beliau seorang yang beragama Islam tidak bercakap kosong dengan membuat tuduhan tanpa bukti kukuh, sebaliknya perlu berserta bukti-bukti kukuh untuk melemparkan sebarang tuduhan kepada orang lain.
“Untuk mencari sokongan politik siapa saja boleh menuduh sembarangan pada mana-mana pihak dengan mengatakan pihak tertentu menerima imbuhan berjuta-juta ringgit.
“Kalau benar apa yang didakwa, kita cabar kemukakan bukti kukuh mengenai sogokan wang berkenaan,” katanya.
Sinar Harian pada Isnin lalu menyiarkan pendedahan Kimma terhadap pembangkang yang didakwa menawarkan wang jutaan ringgit, projek dan jawatan penting dalam Kerajaan Negeri supaya beralih menyokong pembangkang.
No comments:
Post a Comment