Apr 5, 2011
Kutuk ceramah Ummi Hafilda
JOHOR BAHRU - Pakatan Rakyat (PR) kawasan Pasir Gudang membuat laporan polis terhadap Ummi Hafilda Ali selepas menerima hampir 10 aduan memberitahu satu ceramah melibatkannya diadakan di tempat awam, malam semalam.
Seramai 20 ahli dari parti komponen PR yang diketuai Ahli Jawatankuasa Pas Johor, Syed Othman Syed Abdullah hadir ke Balai Polis Pasir Gudang untuk membuat laporan polis pada jam 10 malam kelmarin.
Syed Othman yang juga Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas berkata, pihaknya sudah menerima aduan orang awam menyatakan Ummi Hafilda akan berceramah di tapak letak kereta Perjiranan 9 Taman Air Biru, di sini.
Menurutnya, perkara itu disedari PR sejak tiga hari lalu apabila poster dan kain rentang mula dinaikkan di sekitar Pasir Gudang bagi tujuan menguar-uarkan ceramah berkenaan.
“PR mendesak supaya pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Ummi Hafilda sekiranya ceramah ini benar-benar diadakan di lokasi berkenaan yang juga tempat awam.
“Kami tidak mahu berlakunya ‘double standard’ sehinggakan Ummi Hafilda boleh berceramah di tempat awam berbanding pembangkang yang kebiasaan sukar mendapatkan permit dan hanya boleh berbuat sedemikian di markas sahaja.
“Dia (Ummi Hafilda) perlu mematuhi syarat dan peraturan sekiranya mahu membuat ceramah sama seperti pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas membuat laporan polis berkenaan, di sini, semalam.
Syed Othman berkata, PR kawasan Pasir Gudang juga mengutuk sekeras-kerasnya ceramah itu yang dijangka membawa isu fitnah melibatkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam video seks.
“Ada maklumat menyatakan Ummi Hafilda bakal membawa isu video seks ini dan seperti yang pernah PR kawasan Pasir Gudang nyatakan ia bertujuan memburuk-burukkan Anwar.
“Sebelum ini, kami sudah membuat laporan polis di IPD Seri Alam meminta pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Ummi Hafilda dan tiga individu bergelar Datuk T.
“Oleh itu, kami mahu ada tindakan ke atas mereka kerana sehingga hari ini, masih belum ada bukti jelas membuktikan Anwar di dalam video seks berkenaan,” katanya.
Justeru, katanya, polis diharapkan dapat bertindak memastikan ceramah Ummi Hafilda tidak berlangsung melainkan di lokasi bukan tempat awam selain meminta setiap dakwaan dalam ceramah mendapat pemantauan supaya fitnah kotor mampu dihentikan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment