Apr 29, 2011

BANTUAN TIDAK PILIH KRONI

 


PASIR GUDANG – Bagi merealisasikan hasrat sebuah negara berkebajikan, Parti Islam Semalaysia (Pas) Kawasan Pasir Gudang mengambil inisiatif turun padang menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan. 

Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, Program Kebajikan Pas Pasir Gudang itu kali pertama dibuat secara besar-besaran. 

Menurutnya, seramai 30 keluarga daripada Taman Rinting, Taman Megah Ria dan Taman Kota Puteri yang dikenal pasti berkelayakan menerima sumbangan bantuan barangan keperluan harian. 

“Program ini julung kali diadakan secara besar-besaran kerana sumbangan yang kita hulurkan sebelum ini hanya diagihkan kepada beberapa individu sahaja. 

“Program ini merupakan bantuan khas kepada golongan miskin, miskin tegar, ibu tunggal dan pesakit kronik berdasarkan maklumat daripada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Syed Othman berkata, bantuan yang dihulurkan khusus kepada golongan yang dikenal pasti memerlukan bantuan tanpa mengira latar belakang politik, tetapi lebih kepada konsep kebajikan. 

Menurutnya, Pas tidak mahu dilihat hanya sebuah parti yang boleh berceramah semata-mata, sebaliknya kesusahan rakyat tidak akan dibiarkan tanpa pembelaan sewajarnya. 

“Kita tidak pernah membezakan latar belakang politik atau memilih kroni dalam mengagihkan bantuan, kerana pendekatan kami lebih kepada kebajikan. 

“Kami mahu lebih dikenali sebagai parti yang dekat dengan rakyat terutama bagi golongan yang kurang bernasib baik, bukannya hanya pandai berhujah di pentas ceramah,” katanya. 

Menurutnya, rombongan yang turut serta turun padang menghulurkan bantuan dari rumah ke rumah terdiri daripada Pas Kawasan Pasir Gudang, Dewan Muslimat Pas dan PAR. SINAR

No comments:

Post a Comment