Apr 21, 2011

Anak Khir Johari tempelak Tun Dr Mahathir






[Image]Dari Blog Zairil Khir Johari
Kenyataan Balas Terhadap Dakwaan Dr Mahathir


Saya berasa amat kesal dan kecewa dengan kenyataan terbaru Tun Dr Mahathir yang mendakwa bahawa parti DAP telah berjaya membawa politik perkauman kepada Sarawak. Tuduhan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, adalah sindiran-sindiran yang sebegitu rupa yang menjadi punca ketegangan antara kaum di Malaysia. Sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan negarawan yang dihormati ramai, beliau sepatutnya lebih matang dan tidak mengapi-apikan tohmahan yang boleh memecah belahkan rakyat.

Sebagai seorang yang telah terlibat secara terperinci dalam proses perancangan, perangkaan strategi dan pelaksanaan kempen DAP untuk Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, saya boleh mengesahkan dengan tegasnya bahawa tiada sedikit pun unsur perkauman yang cuba dibangkitkan oleh parti kami.

Sepanjang kempen, isu-isu yang telah kami tekankan adalah seperti masalah pentadbiran, penyalahgunaan kuasa, rasuah yang berleluasa, polisi ekonomi yang tidak memanfaatkan rakyat, inflasi yang kian melambung dan kegagalan kerajaan untuk mengatasi masalah-masalah di atas.

Mungkin dalam pendapat Tun Dr Mahathir, hanya masyarakat Cina sahaja yang mengambil berat tentang isu-isu sedemikian? Bukankah itu satu penghinaan kepada rakyat Sarawak dan rakyat Malaysia secara umumnya?

Sebaliknya, pihak yang telah cuba menakut-nakutkan pengundi dengan isu-isu perkauman adalah parti-parti daripada BN seperti SUPP, PBB dan MCA.

No comments:

Post a Comment