BERSAMA DENGAN PENGADU
PASIR GUDANG – Hasrat seorang bapa untuk melihat satu-satunya anak lelaki dalam keluarga bersekolah masih samar apabila usahanya untuk mendaftarkan persekolahan anak ketiganya itu gagal.
:Awang Sanal Abdullah, 51, berkata, hatinya tertanya-tanya apabila anak lelakinya, Madsheikh, 7, tidak dapat didaftarkan sekolah, sedangkan dua anak perempuannya tidak bermasalah.
Menurutnya, alasannya yang diberikan pihak berkenaan apabila surat beranak Madsheikh tercatat status warganegara masih belum ditentukan sedangkan dia dilahirkan di Seri Alam.
“Surat beranak anak pertama dan kedua saya mempunyai binti dan berstatus warganegara dan kini belajar di sekolah menengah dan sekolah kebangsaan.
“Tetapi saya pelik anak ketiga dan keempat saya tidak mempunyai bin dan berbintikan saya, malah lebih merumitkan keadaan apabila status warganegaranya tercatat masih belum ditentukan sedangkan kami orang tempatan,” katanya ketika hadir ke Pusat Aduan Rakyat (PAR), di sini.
Awang Sanal berkata, hatinya luluh setiap kali pulang dari bekerja kerana anak lelakinya menerkam ke arahnya sambil bertanya bila dia boleh ke sekolah seperti kakak dan rakan-rakannya.
Menurutnya, pelbagai usaha dibuat termasuk merayu kepada guru besar sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah untuk mendapatkan kebenaran mendaftar anaknya sekolah, tetapi tetap tidak membuahkan hasil.
“Saya masih boleh menerima anak tidak mempunyai ’bin’ dan ’binti’ kerana kami bernikah secara adat di Tawau, Sabah sehingga tidak memiliki sijil nikah yang sah.
“Tetapi saya sedih apabila status warganegara anak saya masih belum ditentukan sehingga menimbulkan masalah untuk mendaftarkan persekolahan,” katanya.
Awang Sanal mendakwa, lebih menimbulkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan bayaran RM50 tidak seperti warga tempatan lain ketika mendapatkan rawatan di hospital kerajaan ketika anak bongsunya demam.
Menurutnya, warga tempatan termasuk Cina dan India hanya dikenakan bayaran RM1, tetapi disebabkan status warganegara masih belum ditentukan menyebabkan anaknya dicaj seperti warga asing.
“Saya pernah beberapa kali menangis kerana buntu memikirkan masa depan dua anak saya terutama apabila kami tiada lagi di dunia ini, sedangkan kami warga tempatan.
“Saya rayu pihak bertanggungjawab dapat membuat semakan dalam perkara ini kerana besar harapan saya untuk melihat anak-anak saya mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.
No comments:
Post a Comment