Feb 9, 2010

Perbicaraan Kes Liwat Anwar Ditangguh Lagi

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memasuki hari kelima dengan mahkamah bersedia untuk mendengar permohonan Ketua Pembangkang itu supaya Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada mendengar kes itu kerana dianggap berat sebelah.

Bagaimanapun, prosiding itu ditangguhkan sehingga esok berikutan permohonan peguam utama pembelaan, Karpal Singh untuk diberikan lebih masa bagi menjawab afidavit jawapan yang difailkan pihak pendakwaan.

Karpal Singh membuat permohonan supaya Hakim Mohamad Zabidin menarik diri berdasarkan keputusan hakim berkenaan berhubung dua artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia yang disifatkannya sebagai mempunyai elemen berat sebelah.

Anwar, 63, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan. Perbicaraan kes liwat, yang menarik perhatian ramai termasuk wakil media luar negara, bermula Rabu lepas, selepas 18 bulan Anwar pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 7 Ogos, 2008.

Semalam, Mohd Saiful, 25, bekas pembantu peribadi Anwar yang merupakan saksi pertama memberi keterangan, sepatutnya disoal balas oleh pihak pembelaan tetapi perbicaraan terpaksa ditangguhkan ke hari ini bagi mendengar permohonan supaya Hakim Mohamad Zabidin dilucutkan daripada mendengar perbicaraan kes itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment