Feb 5, 2010

Penulis blog perlu bertanggungjawab dan beretika dalam melaporkan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim

Penulis blog perlu bertanggungjawab dan beretika dalam melaporkan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggelakkan tidak boleh diulas kerana masih dibicarakan atau mempengaruhi keputusan tersebut.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata mereka mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat, di samping masih tertakluk pada undang-undang berkaitan komunikasi di negara ini.

"Dengan trend yang ada sekarang ini, saya percaya penulis-penulis blog pun akan terasa mereka perlu bertanggungjawab terhadap masyarakat dan tidak bebas seperti aliran air semata-mata, mencurahkan ke sana dan melimpah ke sini.

"Mereka sendiri akhirnya akan ditembusi undang-undang. Mahu tidak mahu, undang-undang akan mencekau mereka pada tahap yang tertentu. Sebelum itu berlaku, seperti yang berlaku kepada penuntut di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan), haruslah mereka memperbaiki pendirian mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku 'Melakar Jejak - Biografi Mohd Yusof Noor' di sini Jumaat.

Katanya Jabatan Peguam Negara sentiasa memantau laporan yang disiarkan menerusi blog-blog tertentu mengenai cara kes berkenaan dihuraikan, "sama ada secara am atau menghina dan menyalahi hukuman tidak boleh diulas."

Sementara itu, Rais berkata kementerian itu tidak menghalang atau menyekat Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk melaporkan perbicaraan kes berkenaan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh mahkamah.

RTM juga dibenar menggunakan istilah-istilah tertentu yang digunapakai oleh mahkamah disiarkan menerusi siaran berita tempatan bagi tujuan pengetahuan awam.

"Kes itu boleh dilaporkan mengikut sumber mahkamah, tinggal lagi kita tidak boleh membuat komen yang mempengaruhi pendirian hakim atau perkara yang sedang berjalan diberi komen baik buruknya.

"Kalau menceritakan tentang perjalanan kes itu seperti yang dizahirkan oleh mahkamah, ini kepentingan awam dan perlu diketahui," katanya.

Kes perbicaraan Anwar, 63, yang juga ketua Pembangkang serta Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008 bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment