Feb 19, 2010

Kes Anwar: Hakim Enggan Undur, Karpal Dedah PM-Rosmah Sebagai Dalang

Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor mendalangi pertuduhan fitnah liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam Karpal Singh membuat kenyataan berani itu selepas Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah enggan mengundur diri walaupun dituduh berat sebelah dalam beberapa keputusannya.

Zabidin menangguhkan perbicaraan ke 25 Mac, walaupun dibantah oleh Karpal yang mahu prosiding diteruskan.

Namun Zabidin menolak bantahan berkenaan dan berkata Anwar boleh mengambil masa untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan beliau untuk terus membicarakan kes itu.

Dalam silang hujah di antara hakim dan peguam, Ketua pendakwaraya Mohd Yusof Zainal Abiden mengesahkan bahawa mahkamah dan pejabat Peguam Negara tidak menyalahkan Anwar atas sebarang kelewatan berhubung perbicaraan itu.

Mahkamah Tinggi kembali bersidang pagi tadi dengan hakim Mohamad Zabidin menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan atau berbohong sebagaimana yang didakwa oleh Karpal Singh.

Justeru Mohd Zaibidin berkata beliau akan terus menghakimi perbicaraan ini.

Keputusan beliau sudah dijangka tetapi yang mengejutkan ialah apabila Zabidin kemudian menangguhkan kes perbicaraan kepada 25 Mac atas alasan Anwar perlukan masa untuk memfailkan rayuan terhadap keputusannya ini.

Penangguhan itu dibantah oleh Karpal yang menegaskan pihaknya tidak mahu lagi perbicaraan dilengah-lengahkan setelah wujud unsur-unsur Perdana Menteri dan isteri terbabit dalam kes berkenaan.

Beliau menegaskan pihaknya sudah bersedia untuk menyoal balas saksi utama dan pengadu Saiful Bukhari Azlan.

Di luar mahkamah, Anwar menghuraikan bagaimana institusi keadilan Negara diperalatkan untuk melengkapkan agenda perdana menteri dan isteri bagi menjatuhkan beliau dan melemahkan gagasan Pakatan Rakyat.

"Ini kita bicara mengenai proses undang-undang yang saksama dalam hukum seperti yang ditegaskan Karpal tidak ada asas tapi kita melibatkan campurtangan Perdana Menteri Najib dan Rosmah dengan memperalatkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail teruskan dengan pendakwaan ini dan sebab itu kita tegaskan mesti ikut hukum dan jangan mempermainkan untuk memenuhi cita politik mereka,”katanya.

Najib mengakui menemui Saiful di rumahnya beberapa hari sebelum beliau membuat laporan polis mendakwa berlakunya pertuduhan berkenaan pada Jun 2008.

Saiful juga disahkan berjumpa dengan pegawai kanan Najib semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Anwar berkata Najib dan Rosmah harus dipanggil sebagai saksi pada perbicaraannya namun permohonan itu belum mendapat persetujuan mahkamah.

Karpal sebelum itu menuduh hakim Zabidin berlaku tidak adil apabila enggan bertindak atau mencela Utusan Malaysia atas dua laporan yang dikata berasaskan bukti reka cipta dan bukan sebahagian daripada keterangan mahkamah.

“Dia mengatakan tidak ada asas atas pertuduhan saya ke atas di abahawa dia pembohong. Oleh itu ini adalah perkara yang harus diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

“Biar Mahkamah Rayuan putuskan, bahkan Hakim enggan menundurkan diri dan kita lihat keputusan Mahkamah Rayuan dan perbicaraan perlu ditangguh sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan,”katanya.

Dalam pada itu Pengarah Strategi PKR Tian Chua pula mencurigai kesediaan hakim Zabidin menangguhkan perbicaraan semata-mata untuk membolehkan Anwar menfailkan permohonan ke Mahkamah Rayuan.

Menurut beliau, penangguhan itu akan memberi kelebihan kepada pengadu mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Kalau ada rayuan ikut undang-undang, dia boleh terus untuk soal Saiful ,pandangan saya ialah kerana kalau Saiful ini disoal sekarang, banyak masalah akan timbul. Kalau betul kita menang dalam mahkamah rayuan, hakim ini ditukar peguambela ada peluang untuk pemeriksaan balas sekali lagi sebab hakim baru, mungkin inilah takutnya Saiful nanti ceritanya akan berbeza”

“Sebab itulah saya lihat mereka tidak ada keinginan untuk meneruskan perbicaraan

1 comment:

  1. zainal abidin ismailFebruary 21, 2010 at 1:29 AM

    kenapa peguam anwar sume bukan ISlam??ape kena mengena utusan dgn perjalanan prosiding mahkamah??

    ReplyDelete