Aug 19, 2009

UMNO MEMPERALATKAN TENTERA DI PERMATANG PASIR

Pas kesal dengan tindakan pemerintah Umno-BN memperalatkan Tentera dalam pilihanraya kecil Dun N11 Permatang Pasir.

Pengarah Pilihanraya Dun N11 Mahfuz Omar berkata Pas berjaya mengesan kewujudan klinik-klinik tentera yang memberikan khidmat perubatan percuma kepada penduduk di pusat jentera pilihanraya Umno.

Pas demikian itu menuntut Tentera Diraja Malaysia untuk menghormati kedudukan tentera sebagai elemen neutral dan tidak membantu kempen pilihanraya mana-mana parti politik di Dun N11.

“Kekuatan angkatan tentera digunakan untuk kepentingan politik dalam pilihanraya. Saya percaya ini semua satu bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan jentera agensi dan jabatan kerajaan. Sebab saya minta SPR memerhati hal-hal sebegini bagi mengelak penyalahgunaan agensi kerajaan,” katanya.

Mahfuz menjelaskan bahawa penemuan klinik tentera di khemah-khemah Umno menunjukkan bahawa pihak keselamatan turut diheret ke kancah politik bagi membantu kemenangan Umno.

Beliau percaya manipulasi sumber kerajaan ini mempunyai hubungan kait dengan portfolio Menteri Pertahanan yang kini dipegang oleh Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Dato Zahid Hamidi.

Jelas Mahfuz, keadaan yang sama berlaku Pilihanraya kecil di Manek Urai di mana instusi tentera dan polis dikerahkan untuk membantu jentera milik Umno dan BN.

“Ini kali ke 2, di Manek urai dengan satu kertas kerja yang menunjukkan penglibatan secara terang di akui dalam kertas itu bahawa mereka harus berstrategi dalam program-program di bawah angkatan tentera ini supaya tidak dilihat memihak kepada BN tetapi mereka sebenarnya bekerja untuk BN,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Mahfuz turut menyatakan kekecewaan dengan sikap Umno-BN mengemukakan calon yang terpalit isu pecah amanah untuk mewakili rakyat Permatang Pasir.

Mahfuz berkata calon BN, Rohaizat Othman, dikaitkan dengan kes salahlaku melibatkan penyalahgunaan wang RM140,000 wang koperasi milik pekebun kecil getah.

Kata Mahfuz, pemilihan calon yang pernah terlibat dengan tuduhan salahlaku merupakan pilihan terbaik yang dapat diberikan oleh Umno BN kepada pengundi Permatang Pasir.

“Saya sangat kecewa mengemukakan beliau sebagai seorang calon yang mendedahkan diri beliau kepada pendedahan terhadap perlakuan yang dilakukan satu ketika dahulu bahawa beliau sebenarnya dari sudut moral hilang kelayakan sebagai seorang calon. Ini diakui oleh Dato Zahid Hamidi,” katanya.

Mahfuz berkata Pas tidak mahu melakukan serangan peribadi terhadap Rohaizat, tetapi mempersoal kredibiliti Rohaizat untuk memegang amanah sebagai seorang wakil rakyat.

Katanya, pemilihan Rohaizat sebagai calon di permatang pasir bersalahan dari segi moral sebagaimana yang diakui sendiri oleh pengerusi perhubungan negeri Pulau Pinang, Dato Zahid Hamidi.

No comments:

Post a Comment