Dec 3, 2009
SAYA TIDAK AKAN MELETAK JAWATAN: NIK AZIZ
KOTA BHARU - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam berkata, beliau tidak akan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan walaupun didesak pelbagai pihak.
Beliau berkata, adalah mustahil untuk beliau menerima desakan dan gesaan yang dibuat oleh sekumpulan rakyat yang menggelar diri mereka sebagai Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan (JRPK).
“Mustahil saya perlu akur dan meletak jawatan semata-mata digesa 200 budak-budak nakal di bawah pohon jati di pintu masuk Kota Darulnaim.
“Jika saya perlu meletak jawatan atas sebab desakan UMNO, sudah tentu saya berbuat demikian semasa Tan Sri Annuar Musa menjadi Ketua Pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri empat tahun lalu.
“Akan tetapi, Alhamdulillah, saya masih tetap duduk di kerusi ini sampai ke hari ini. Sebaliknya pemimpin UMNO pula yang ‘ghaib’ dari arena politik tanah air,” katanya merujuk kepada demontrasi oleh satu kumpulan yang mahu beliau berundur kerana gagal memajukan Kelantan, kelmarin.
Beliau berkata, ada kalanya beliau hairan memikirkan telatah ahli UMNO, contohnya di dalam DUN Kota Seputih yang mana mereka cukup beria-ia untuk mempertahankan diri dengan menggunakan instrumen mahkamah bagi mengelak dari memasuki pilihan raya.
“Itu kerusi dia yang selamat. Itu pun masih berdolak-dalik untuk diuji melalui pilihan raya. Sebaliknya mereka cukup ghairah untuk mendesak saya mengosongkan kerusi Menteri Besar sedangkan tidak ada apa-apa keadaan sedikit pun yang memaksa suasana atau menyalahi undang-undang yang membolehkan saya membuat pengosongan.
“Kepada ramai pemimpin Pakatan Rakyat kita sudah lama dapat membaca bahawa telah menjadi ‘grand design’ mereka untuk mencipta suasana yang tidak tenteram di semua negeri Pakatan Rakyat. Kita tahu, bukan kita tidak tahu,” katanya. :
Sehubungan itu katanya, semua orang perlu memahami yang beliau bekerja dengan Pas dan sewajarnya beliau bersyukur dengan desakan UMNO itu kerana beliau berjaya mengucar-ngacirkan UMNO.
“Jika UMNO yang mendesak saya, maka saya sewajarnya berbangga kerana saya sudah dikira berjaya mengucar-ngacirkan UMNO. Mereka sudah keluh kesah,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment