Dec 29, 2009

LAPORAN POLIS TERHADAP KETUA CAWANGAN UMNO

Laporan Polis & SPRM Isu Setingan di Dun Stulang Perlukan Pembelaan

MUQADIMAH

Satu lagi projek mega Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kerjayaraya Malaysia yang dilaksanakan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia telahpun menganugerahkan konsesi membangunkan Projek Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur atau dikenali sebagai Eastern Dispersal Link(EDL) kepada MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd yang bernilai RM 977juta dan konsesi ini dipegang selama 34tahun.
Pembinaan lebuh raya sepanjang 8.1 km ini telah pun bermula pada 25 Februari 2008 dan projek ini dijangka siap pada tahun 2012 yang bertujuan mengurangkan kesesakan bandar raya Johor Bahru dan menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit Chagar (KIK) dengan Lebuhraya Utara-Selatan di Pandan.

Projek Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL) ini melibatkan 2 seksyen.

Seksyen A
Jajaran ini adalah mengikut jajaran yang sedia ada iaitu sepanjang Jalan Stulang Darat/Pasir Pelangi tetapi ianya adalah eleveted dan jalan yang sedia ada akan berada di bawah lebuhraya ini.

Seksyen B
Jajaran ini adalah di atas tanah dan ianya adalah jajaran yang baru iaitu melibatkan pengambilan balik tanah dan penempatan semula setinggan bagi beberapa buah kampung seperti Kg. Desa Melayu, Kg. Desa Makmur, Kg. Desa Jaya, Kg. Tengah, Kg. Tok Siak, Kg Hajah Hasnah, Kg Bakar Batu dan Kg. Belantik.


ADUAN
1. Penduduk setinggan atau peneroka bandar berasa tertipu dengan kerajaan yang selama ini berjanji untuk memberikan hak milik tanah yang diteroka oleh mereka puluhan tahun dahulu yang asalnya tanah berpaya disepanjang tepian lembaran Sungai Tebrau yang telah dibangunkan oleh penduduk dan kini tanah yang mereka duduki sekarang bernilai komersial yang sangat tinggi akhirnya diambil alih oleh kerajaan atas nama penswastaan.

2. Penduduk tidak menolak pembangunan sekiranya ianya sudah sampai dan bermanfaat untuk rakyat tetapi biarlah mereka diberikan hak yang setimpal dengan nilai tanah yang telah mereka bangunkan selama puluhan tahun.

3. Meminta diumumkan kertas siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Parlimen (PAC) yang bersidang pada tahun 2007 yang waktu itu dipengerusikan oleh Dato Shahrir Abd Samad yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru merangkap Ketua Bahagaian Umno Johor Bahru yang ditugaskan menyiasat perbelanjaan besar kerajaan dalam projek tersebut.

4. Penduduk ditawarkan dengan saguhati atau ex-gratia sebagai menggantikan perkataan pampasan kepada penduduk kampung yang terlibat dengan jumlah yang dikirakan tidak munasabah seperti jadual berikut:-

a) Pihak MRCB akan membayar sebulan RM 380 (tiga ratus lapan puluh) selama 3 tahun sebagai sewa yang jika dikira sekaligus ialah 36 bulan bersamaan RM 13,680 (tiga belas ribu enam ratus lapan puluh).

b) Pihak MRCB akan membayar saguhati sebanyak RM 2,000(dua ribu) sebagai saguhati untuk kos perpindahan.

c) Pihak MRCB akan membayar saguhati tambahan sebanyak RM 3,000(tiga ribu) lagi sebagai bonus bagi penduduk yang berpindah dalam masa 2 bulan ataupun penduduk yang berpindah dalam bulan Julai dan Ogos.

5. Penduduk meminta dilakukan penyiasatan kemungkinan wujudnya sindiket yang mengambil keuntungan terutamanya yang melibatkan ketua-ketua cawangan umno di kampung-kampung terlibat yang menjadi agen atau orang tengah yang menguruskan pembayaran kepada penduduk.

6. Menyiasat kewujudan budaya samseng dan peras ugut yang kini bertindak menakut-nakutkan penduduk kampung dari rumah kerumah sehinggakan penduduk kampung bimbang untuk mengambil keputusan dan mendengar penjelasan dari semua pihak.

7. Meminta disiasat individu-individu yang terlibat dalam Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor yang sehingga kini masih belum mengusulkan perjanjian jualbeli rumah kepada penduduk sedangkan ramai penduduk yang sudah mendapat wang tetapi masih tidak mendapat rumah.

8. Menyiasat ketua-ketua cawangan Umno kampung-kampung terlibat yang bertindak mewakili penduduk berunding dengan pihak pemaju MRCB yang sepatutnya diwakili oleh ketua-ketua kampung.

9. Menyiasat kebenaran janji-janji Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor yang mengatakan penduduk yang pernah memiliki lesen menduduki sementara(tol) dikatakan akan ditawarkan rumah jenis pangsa kos sederhana rendah dari unit-unit tingkat 1 hingga 5 seluas 850 kaki persegi dengan harga RM80,000.00 dan penduduk hanya perlu membayar RM35,000.00 sahaja dan rumah RM50,000.00 pula ditawarkan kepada anak-anak penduduk dan penyewa rumah asal unit-unit dari tingkat 6 ke tingkat 12 untuk unit yang berkeluasan 750 kaki persegi.

10. Menyiasat kebenaran surat tawaran dari Cawangan Perumahan Johor yang tidak pernah ditunjukkan kepada penduduk kampung yang mana perjanjian itu hendaklah menunjukkan harga yang ditawarkan adalah RM80,000.00 dan Surat Perjanjian Jual-Beli (S&P) juga menunjukkan harga yang sama walaupun harga yang perlu dijelaskan adalah RM35,000.00.

11. Penduduk mahukan 2932 unit rumah kos sederhana rendah(rumah mampu milik) yang dibangunkan untuk penempatan semula setinggan diatas Lot tanah PTD148146 dan sebahagian Lot PTD148149 Muikim Plentong didalam daerah Johor Bahru diberikan status milik kekal dan bukannya sewa.

12. Menyiasat kemungkinan wujudnya manipulasi kepada penduduk kampung yang telah bersetuju atau akan bersetuju menerima pelan perpindahan pemaju MRCB sehinggakan penduduk yang sudah menerima wang ex-gratia atau saguhati berasa tertipu atau terpedaya dengan pelan tersebut.

13. Sehingga hari ini pemaju projek iaitu pihak MRCB masih belum memberikan apa-apa notis hitam putih berkenaan pampasan & notis arahan berpindah kepada penduduk melainkan semua datang secara lisan melalui ketua cawangan Umno

14. Meminta dihentikan sementara sebarang pembayaran saguhati atau ex-gratia kepada penduduk yang sukarela menerima tawaran pelan perpindahan yang dibuat melalui wakil-wakil Umno kampung tersebut memandangkan sudah terlalu banyak aduan dan keraguan yang timbul disebalik individu-individu yang bertanggungjawab menguruskan pembayaran wang beserta dokumen-dokumen tawaran dan penerimaan.

15. Meminta pihak MRCB dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor turun sendiri bersama jawatankuasa bertindak penduduk untuk memberikan penjelasan dan status terkini penduduk memandangkan masih ramai penduduk yang tidak mendapat penerangan yang sebenarnya tentang projek lebuhraya dan pelan perpindahan.

16. Penduduk mahukan status rumah yang dihuni oleh lebih dari satu keluarga sama ada layak atau tidak menerima saguhati mengikut jumlah keluarga yang tinggal dibayar secara terus satu keluarga atau berbilang mengikut jumlah pintu rumah dan keluarga.

17. Meminta kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor dan Tebrau Teguh Sdn Bhd bertanggungjawab memberikan kenyataan hitam putih tentang bagaimana projek penempatan semula rumah kos sederhana rendah yang sangat lembab dan perlahan akan berjalan mengikut jadual sedangkan projek pembinaan lebuhraya sedang rancak dijalankan

18. Menyiasat ketelusan bancian yang dibuat untuk penama-penama yang layak membeli atau memilik rumah yang sepatutnya dijalankan sendiri oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor dan bukannya bersumberkan dari ketua-ketua cawangan Umno.

19. Meminta dipamerkan serta merta penama-penama yang layak untuk membeli atau memiliki rumah kos sederhana rendah untuk penempatan semula tersebut di papan-papan tanda awam dikawasan sekitar kampung memandangkan penduduk bimbang dengan ketelusan bancian tersebut dan bimbang nama-nama yang layak tercicir atau hilang.


SAYA MENDESAK AGAR LAPORAN INI DISIASAT DAN TINDAKAN SEGERA DILAKUKAN SEKIAN LAPORAN SAYA.

No comments:

Post a Comment