Dec 14, 2009

SELANGOR BERHAK TENTU SENDIRI TARIKH PRU

PETALING JAYA - Kerajaan Selangor berhak tidak menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijadualkan Kerajaan Pusat dan menetapkan tarikhnya sendiri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Pusat juga tidak boleh halang jika Kerajaan Negeri mahu memilih tarikh PRU berasingan.

Beliau diminta mengulas rancangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenangi dalam PRU ke-12 dalam PRU akan datang.

Abdul Khalid, yang juga Pengerusi PKR Negeri berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan berusaha untuk kekal sebagai pemerintah di negeri itu selepas PRU-13.

“Kita akan berusaha kalahkan Barisan Nasional (BN) dan rakyat perlu menilai kebaikan dan faedah yang akan mereka perolehi sekiranya mereka mengundi PR,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan RM2 juta kepada 52 sekolah jenis kebangsaan Cina, di sini, semalam.

Mengenai rancangan Kerajaan Negeri hendak melaksanakan sistem sekolah percuma untuk semua sekolah di negeri ini, katanya, ia dapat ditimbangkan jika Kerajaan Pusat memberi peruntukan yang cukup.

Katanya, Kerajaan Pusat mendapat RM16 bilion daripada Kerajaan Negeri dan rakyat negeri ini, tetapi sehingga 27 Oktober lalu, Kerajaan Negeri hanya menerima RM408.26 juta.

“Saya tidak fikir Kerajaan Pusat akan berikan jumlah yang lebih banyak dan saya faham mereka juga perlukan peruntukan untuk jalankan projek. Tetapi sekurang-kurangnya rakyat Selangor berhak mendapat 20 peratus daripada jumlah itu untuk kepentingan dan kebajikan mereka,” katanya.

Katanya, jumlah RM16 bilion itu adalah nilai cukai yang dibayar oleh rakyat negeri ini kepada Kerajaan Pusat dan mereka berhak menerima peruntukan yang sewajarnya bagi tujuan pembangunan.SUMBER SINAR

No comments:

Post a Comment