Feb 22, 2014

GAMBAR KENANGAN DALAM DEMONTRASI AMAN BANTAH KASSIM AHMAD AHLI UMNO...GERAKAN ANTI HADIS... SELEPAS SOLAT JUMAAT DI JOHOR. BATU PAHAT. MUAR JOHOR BAHARU UDA







POLIS DI SANGKA PEROMPAK


JOHOR BAHRU - Seorang wanita berhadapan detik cemas apabila melihat lelaki disangka perompak memanjat pagar kediaman dan memecahkan pintu hadapan rumahnya di Taman Molek, di sini, 17 Februari lalu.


Wanita berkenaan yang juga seorang kerani, Lee Kai Ling, 27, berkata, dia bersendirian di rumahnya dalam kejadian jam 2 petang itu kerana suaminya, Kum Weng Fai, 28, bekerja.

Menurutnya, dia yang ketakutan dan panik melihat tindakan kumpulan lelaki itu, terus berlari ke bilik untuk menyelamatkan diri dan sempat menjerit meminta pertolongan.

“Tiba-tiba, pintu bilik saya terbuka dan ketika itu, ketiga-tiga mereka memperkenalkan diri sebagai polis dengan menunjukkan kad kuasa.

"Saya sedikit lega, namun jika diperkenalkan lebih awal, saya tiada masalah untuk memberikan kerjasama.

“Paling memeranjatkan, saya diberitahu kediaman kami diserbu kerana disyaki menyimpan dadah selepas polis menerima maklumat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dia ditemui selepas menerima kunjungan media bersama Adun Johor Jaya, Liow Chai Tung dan Penyelaras Pusat Aduan Rakyat Kawasan Permas, Syed Othman Syed Abdullah.

Kai Ling berkata, dia ketakutan selepas ternampak kelibat orang memanjat pagar rumahnya sehingga menyangka anggota polis terbabit sebagai penjenayah kerana ada kejadian kediaman jirannya dirompak sebelum itu.

“Selain itu, pada tahun lalu, rumah kami pernah menjadi sasaran penjenayah yang memecahkan cermin kereta suami dan sempat melarikan beberapa barangan berharga.

Menurutnya, jika anggota polis tidak memakai uniform sekalipun, penggunaan vest sudah memadai untuk orang awam sepertinya maklum bahawa mereka adalah pihak berkuasa.

Tambahnya, kira-kira setengah jam kediamannya diperiksa, seorang pegawai terbabit menyerahkan borang geledah.

“Berdasarkan maklumat daripada borang berkenaan, tiada sebarang rampasan dibuat selain tiada sebarang dadah ditemui. Saya dan suami tidak pernah menyimpan barangan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Kai Ling berkata, dia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis, namun ada membuat laporan di Balai Polis Taman Johor Jaya, di sini, pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainudin berkata, pihaknya juga perlu mengetahui cerita berhubung insiden tersebut daripada anggota terlibat dan tidak akan mendengar versi sebelah pihak sahaja.

“Tidak dinafikan, ada pihak yang suka menyalahkan polis jika tidak berpuas hati. Bagaimanapun, ingin saya tegaskan bahawa setiap serbuan dijalankan pegawai dan anggota sentiasa mengikuti SOP ditetapkan,” katanya

Feb 16, 2014

HIDUP ATAS IHSAN JIRAN.


  • Hidup atas ihsan jiran Amaravathy menceritakan kepayahan hidupnya kepada Syed Othman (dua, kanan) yang datang melawat.
1 / 1
PASIR GUDANG – “Hari-hari saya masak bubur nasi kosong ataupun kanji untuk mengalas perut, pernah juga saya tak makan," kata seorang warga emas di Taman Kota Puteri, di sini, yang menderita selepas suaminya meninggal, Oktober tahun lalu.
S Amaravathy, 58, berkata, dia hilang punca dan mengharapkan belas ihsan jiran untuk mendapatkan sesuap nasi, malah pernah berlapar selama dua hari kerana kehabisan makanan.

“Kalau tiada jiran tolong hantar makanan dan beras, tak tahu apa jadi. Saya tidak dapat bekerja kerana lutut sakit dan mata sudah rabun,” katanya.

Menurutnya, hidupnya sebatang kara selepas perkahwinan selama 20 tahun bersama suami tidak dikurniakan anak, malah terputus hubungan dengan keluarga yang menetap di bahagian utara semenanjung.

Tambahnya, dia kini hanya ditemani burung kakak tua yang dibela sejak tujuh tahun lalu.

“Saya masih menangis ingatkan suami. Setiap malam gambarnya jadi teman tidur, selain suara burung kakak tua yang saya bela.

“Saya tak tahu hendak mengadu nasib dengan siapa lagi. Kalau dapat bantuan daripada jabatan kebajikan mungkin saya tak perlu lagi menyusahkan jiran-jiran,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya telah membawa Amaravathy ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat permohonan bantuan sara hidup.

Menurutnya, pihaknya akan menyalurkan barangan keperluan setiap bulan kepada Amaravathy hingga permohonan bantuan JKM diluluskan.

Feb 15, 2014

JIMAT SUSU KERANA KEWANGAN


  • Jimat susu kerana kewangan Syed Othman (tengah) ketika melawat Asri.


PASIR GUDANG – Seorang ibu seolah-olah rasa bersalah apabila melihat keadaan anaknya yang terlantar koma semakin kurus selepas terpaksa berjimat susu kerana menghadapi masalah kewangan.

Mara Mail, 52, berkata, dia sekeluarga terpaksa berbuat demikian untuk mengelak anak sulungnya, Asri Suardi, 24, yang koma sejak April tahun lalu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya terputus bekalan susu.

Menurutnya, meskipun mendapat bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM300 sebulan, namun masih tidak mencukupi untuk menampung bekalan susu, lampin pakai buang dan perubatan Asri.

“Saya sedih melihat keadaan anak saya semakin hari semakin kurus, mungkin kerana saya mengehadkan pemberian susu pada dia.

“Tapi saya terpaksa kerana tak mampu.. setin susu berharga RM75 hanya untuk empat hari sahaja, sedangkan kos lampin pakai buang dan perubatan lagi perlu ditanggung,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Mara berkata, pendapatan suami yang berkerja tidak menentu tidak sampai RM1,000 sebulan terlalu sempit untuk menyara keluarga, apatah lagi dua anaknya masih bersekolah.

“Suami pun tak boleh bekerja berat selepas kedua-dua kakinya patah akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Hasil tolong kawan kerja-kerja ringan dapatlah upah tak sampai pun RM1,000 sebulan. Alhamdulillah cukup untuk kami enam beranak hasil berjimat-cermat,” katanya.

Katanya, jauh di lubuk hatinya sering berdoa agar anak sulungnya kembali sihat seperti sediakala walaupun doktor tidak memberi sebarang jaminan anaknya akan kembali pulih.

“Saya nak lihat anak sulung saya ini kembali pulih supaya boleh bekerja dan membantu menyara kami sekeluarga seperti dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan berusaha merujuk kes itu kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapat bantuan yang boleh meringankan beban keluarga itu.

Menurutnya, pihaknya juga akan memberi bantuan barangan keperluan asas secara bulanan, selain membantu membayar tunggakan bil rawatan Hospital Sultan Ismail (HSI) sebanyak RM208.

“Saya akan bawa keluarga ini ke JKM dalam masa terdekat untuk memohon bantuan bulanan yang boleh meringankan beban yang ditanggung.

“Bayaran bil hospital HSI yang masih tertunggak sebanyak RM208 juga saya akan bayar, selain bantuan barangan keperluan asas akan kita salurkan setiap bulan kepada keluarga ini sepanjang tiga bulan pertama,” katanya.

Feb 6, 2014

Penduduk minta pokok ditebang

  • Penduduk minta pokok ditebang Jimmy menunjukkan keadaan batang pokok yang semakin reput kepada Penyelia Pusat Aduan Rakyat negeri, Syed Othman Syed Abdullah ketika turun padang ke lokasi aduan, semalam.

JOHOR BAHRU – Tiga keluarga di Jalan Permas 6, Taman Permas Jaya, di sini, meluahkan kebimbangan ekoran rumah yang didiami mengalami kerosakan selepas dihempap dahan pokok beberapa bulan lalu.

Penduduk, Chin Moi Yong berkata, perasaan mereka sekeluarga tidak keruan setiap kali hujan atau ribut melanda selepas insiden pokok besar berhampiran kediaman yang dahannya semakin reput pernah menghempap rumahnya.

Menurutnya, pihak bertanggungjawab ada mengambil tindakan mencantas dahan pokok berkenaan selepas aduan dikemukakan lebih setahun lalu.

“Saya minta mereka tebang pokok ini kerana membahayakan kami sekeluarga, tapi kontraktor yang dilantik sekadar mencantas dahan sahaja.

“Saya takut setiap kali angin kuat kerana sebelum ini, rumah saya pernah dihempap dahan pokok sehingga kerugian lebih RM1,000 bagi membaik pulih bumbung rosak,” katanya semalam.

Seorang lagi penduduk, Jimmy berkata, keselamatan mereka sekeluarga semakin terancam apabila pokok berhampiran kediamannya sudah mulai reput dan menunggu masa untuk tumbang.

“Saya bimbang keselamatan cucu yang bermain di halaman rumah, sedangkan keadaan batang pokok berhampiran rumah semakin reput.

“Saya mohon kerjasama pihak bertanggungjawab menebang pokok ini secepat mungkin sebelum berlaku kejadian buruk,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Abdul Aziz Ithnin berkata, pihaknya telah memanjangkan aduan itu kepada Jabatan Landskap untuk mengambil tindakan segera.

Menurutnya, pihaknya akan ke lokasi aduan untuk meninjau keadaan pokok terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada perlu ditebang atau dicantas.

“Kalau kita dapati pokok itu sudah reput dan mendatangkan bahaya kepada penduduk, kita akan tebang.

“Kalau pokok itu masih segar, kita hanya boleh mencantas dahannya sahaja,”

Feb 5, 2014

Kebajikan Tetap di teruskan Walaupun kawasan Kubu Kuat UMNO di Taman Cendana


Timbalan Pengerusi PAR Saudara Kelana sampaikan sumbangan kepada yang
terpilih di Taman cendana yang di istiharkan oleh UMNO sebagai wilayah UMNO Pasir Gudang
tetapi di sini lah paling ramai Melayu susah.