Dec 26, 2009

BTN ANJUR CUMA CINTAKAN SATU KAUM

Susulan keputusan Selangor menghentikan serta-merta pegawai dan mahasiswanya daripada mengikuti kursus anjuran Biro Tata Negara, kerajaan negeri hari ini menganjurkan wacana terbuka bagi merungkai secara terperinci modul dakyah perkauman itu.

Bertemakan 'Biro Tata Negara: Patriotik atau Perkauman' panel jemputan Adun Batu Caves, Amirudin Shari memulakan perbahasan dengan dengan berhujah, pemimpin Umno-Barisan Nasional sendiri menolak kursus itu malah menyifatkannya sebagai bersifat perkauman.

Bagi Amirudin, kandungan modul BTN itu dipertikaikan apabila didapati ia menyelitkan unsur fitnah dan hasutan terhadap parti pembangkang serta memecahbelahkan kaum dengan menyemai sifat taksub kepada sesuatu kaum sahaja.

“Patriotisme satu unsur yang diperlukan kepada negara kita, semangat cintakan negara, tetapi Biro Tatanegara melahirkan sebenarnya patriotisme berdasarkan daripada semangat perkauman.

“Masalah Biro Tatanegara ini bermula daripada kandungannya yang mengajak semangat perkauman khususnya untuk orang-orang Melayu membentuk negara kita ini berasaskan kepada cintakan kepada bangsanya sahaja,"katanya.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkongsi pengalamannya mengikuti program BTN mendedahkan bahawa BTN diwujudkan semata-mata untuk menghalang pengaruh Anwar Ibrahim yang ketika itu aktif dalam ABIM.

“Anwar ialah Yahudi, orang Cina, Amerika, ejen Barat, PAS ialah satu parti ajaran sesat dan DAP ialah satu parti yang berasal dari Singapura. Saya malah dalam kuliah subuh, pihak peserta kena sampaikan kuliah subuh, tetapi malangnya kita diberikan set teks lebih kurang macam khutbah, tiada pilihan untuk melontarkan idea sendiri tapi kita diberikan teks ada dua yang masih saya ingat, Malaysia sebuah negara Islam dan ISA halal dari sudut Islam,"katanya.

Tambah Nik Nazmi lagi, jika BTN itu mahu diteruskan, tenaga pengajarnya perlu dipelbagaikan terdiri daripada lebih ramai wanita, bukan khusus kepada satu parti sahaja, orang bukan Melayu.

Malah katanya tidak salah jika tenaga pengajarnya terdiri daripada rakyat dari Malaysia Timur seperti dari Kelantan ataupun Terengganu.

Wacana anjuran kerajaan negeri ini juga menampilkan dua lagi panelis iaitu budayawan Eddin Khoo, penulis KJ John dan bekas calon Umno untuk Parlimen Tumpat Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut hadir Exco Selangor, Teresa Kok dan Adun Kg Tunku, Lau Weng San serta Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Seramai 200 peserta mengambil bahagian dalam dialog terbuka anjuran Pejabat Menteri Besar Selangor ini di Jaya One, Petaling Jaya.

No comments:

Post a Comment