May 25, 2013

Kabinet Najib Bukti Akidah dan Bangsa Bukan Agenda Utama UMNO



Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyifatkan pembentukan kabinet baharu yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sebagai bukti bahawa perjuangan akidah dan bangsa bukanlah merupakan agenda utama UMNO dan Barisan Nasional. Ini terbukti apabila berisan kabinet tersebut tidak banyak mengetengahkan individu-individu yang dilihat vokal dalam isu akidah dan bangsa Melayu.

Dari sudut akidah sebagai contoh, Datuk Seri Najib jelas mengambil risiko dengan melantik Datuk Mary Yap Kain Ching sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi. Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Persekutuan Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia ( Federation of Councils of Christian Mission Schools Malaysia) adalah merupakan antara tokoh yang memperjuangan status sekolah mubaligh agar disamakan dengan sekolah kebangsaan. Hasil perjuangan beliau juga, sebayak RM100 juta diagihkan kepada sekolah mubaligh di bawah Bajet 2013.

DPPNK ingin mempersoalkan apakah agenda Datuk Seri Najib membawa masuk individu sebegini di dalam Kementeria Pelajaran jika tidak untuk memperkasakan lagi sekolah-sekolah mubaligh dan dalam masa yang sama tiada tokoh yang akan memperjuangkan sekolah agama rakyat? Tidakkah ini juga merupakan tindakan berisiko untuk silibus pengajian murid-murid di sekolah kebangsaan yang pastinya akan turut menerima kesan ialah anak-anak kita semua?

Demikian juga tindakan Datuk Seri Najib membawa masuk Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P. Waythamoorthy ke dalam kabinet sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengenepikan suara-suara badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan bangsa Melayu turut dianggap sebagai umpan untuk menarik kembai undi bukan Melayu kepada Barisan Nasional. Dalam hal ini, DPPNK ingin sekali mengetahui sikap badan-badan bukan kerajaan seperti PERKASA dan JATI yang jelas hanya dibakulsampahkan dalam pembentukan kabinet ini.

Selain itu, kegagalan Datuk Seri Najib untuk membawa masuk lebih ramai tokoh agama ke dalam kabinet membayangkan slogan UMNO selama ini sebagai pejuang agama Islam hanyalah retorik semata-mata. Jika sebelum ini sekurang-kurangnya kabinet Malaysia mempunyai Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Dr Masyitah Ibrahim, kini hanya tinggal satu nama iaitu Jamil sebagai tokoh yang berlatarbelakangkan agama dalam kabinet baharu ini. Di mana suara para ulama yang sebelum ini kuat membela UMNO/Barisan Nasional dalam isu kalimah Allah dan sebagainya? Adakah sudah menjadi kukur kelapa yang digunakan ketika kenduri dan disandar di hujung dapur apabila musim kenduri sudah habis?

Bagaimanapun dalam konteks Kelantan, DPPNK mengharapkan agar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang dilantik untuk penggal seterusnya dapat memainkan peranan yang lebih aktif membantu membawa pembangunan ke Kelantan. Ini ditambah pula dengan kejayaan besar beliau memenangi DUN Ayer Lanas dengan majoriti 47 undi membolehkan beliau untuk menajdi jambatan penghubung di antara kerajaan Kelantan dan kerajaan Pusat.

Apapun, bagi pihak DPPNK, tiada yang mengejutkan dalam kabinet baharu Datuk Seri Najib ini, transformasi yang dilaungkan hanyalah transformasi label dan pembungkus sahaja sedangkan isi dalamannya masih sama bahkan lebih tidak mustahil lebih teruk daripada yang sebelumnya.

Sekian.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Loji kumbahan meloyakan

Loji kumbahan meloyakan
AZIZAN INCHE HARUN
25 Mei 2013
Loji kumbahan meloyakan
Syed Othman (tiga, kanan) bersama penduduk menunjukkan keadaan loji kumbahan yang terbiar.
Loji kumbahan meloyakan
Air kumbahan yang disalurkan ke dalam longkang.
PASIR GUDANG – Lebih 1,000 penduduk Jalan Bayan Taman Kota Puteri, di sini, meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap masalah loji kumbahan yang tidak diselenggara sejak lebih 10 tahun lalu.

Penduduk, A Naidu, 63, berkata, penduduk bukan sahaja berdepan masalah bau busuk dan meloyakan malah limpahan air kumbahan masuk ke dalam rumah setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, air kumbahan yang tidak dirawat dibiarkan mengalir ke dalam longkang berhampiran sehingga menimbulkan pencemaran persekitaran dan bau busuk.

“Sepanjang 22 tahun saya menetap di sini, sudah lebih 10 tahun kehidupan kami sekeluarga terganggu dengan bau busuk dan meloyakan. Nak makan pun tak selera.

“Setiap kali hujan lebat, rumah kami dimasuki air yang busuk, tapi tak ada siapa pun yang tolong selesaikan perkara ini. Sudah terlalu lama begini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, V Veera, 55, berkata, sudah banyak aduan dikemukakan kepada pemimpin masyarakat yang berjanji untuk membawa perkara itu kepada pihak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini masalah itu berlarutan tanpa ada mana-mana pihak tampil mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah itu segera.

“Kami sudah tidak tahu hendak mengadu kepada siapa lagi, sedangkan pemimpin masyarakat yang diharapkan boleh mengetengahkan masalah ini sekadar pandai berjanji.

“Selamilah masalah kami yang terpaksa hidu bau busuk ini. tidur dan selera makan termemang terganggu,” katanya.

Penduduk tertekan

SELAIN bau busuk, penduduk mendakwa keselamatan mereka turut terancam gara-gara diserang ular sawa sebanyak tiga kali, kerana keadaan kawasan di situ yang dipenuhi semak-samun.

Menurut M Ramamoorty, 57, penduduk juga tidak tahan dengan nyamuk berpunca daripada longkang yang menjadi takungan air sehingga dua penduduk terkena demam denggi baru-baru ini.

“Kami semakin tertekan, masalah ini dah serius. Sudahlah terpaksa menghidu bau busuk, terpaksa berjaga-jaga pula dengan serangan haiwan berbisa dan nyamuk.

“Kami minta pemimpin datang dan tengok masalah kami di sini.  Pihak bertanggungjawab juga perlu ambil tindakan segera selesaikan masalah ini kerana kami sudah tidak tahan lagi,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya sudah menghubungi pihak berkaitan minggu lepas.

Katanya, jika pihak berkenaan gagal mengambil tindakan dalam tempoh terdekat, pihaknya akan memanjangkan perkara itu kepada Biro Pengaduan Awam.

“Penduduk sedang berusaha mengumpulkan tandatangan sebagai sokongan supaya pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera.

“Sekiranya pihak bertanggungjawab yang berjanji akan mengambil tindakan segera tidak berbuat demikian.

“Kita akan menyerahkan tandatangan yang dikumpulkan daripada penduduk kepada BPA kerana ia melibatkan masalah serius membabitkan keselamatan lebih 1,000 penduduk di kawasan itu,” katanya.