Dec 10, 2009

SAYA TIDAK AKAN MINTA MAAF -NAZRI

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menegaskan tidak akan menarik balik kenyataannya dan memohon maaf berhubung pandangan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai modul Kursus Biro Tatanegara (BTN) bersifat perkauman.

Katanya, walaupun pelbagai pihak, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengkritiknya atas kenyataannya itu, beliau tidak akan memohon maaf kepada Dr Mahathir.

“Sekarang ini di bawah Datuk (Seri) Najib kita ada 1Malaysia, maka sudah tentulah kita (BTN) punya kurikulum yang menampakkan 1Malaysia, sama ada dibuat sekarang, dulu, tak kiralah, tetapi dipinda. Itu yang penting. Jadi kita nak sesuaikan dengan apa yang Najib nak, beliau Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Katanya, terdapat anggota parti pembangkang yang dahulunya terlibat secara langsung dengan BTN sebagai pengarah dan fasilitator. Oleh sebab itu kerajaan tidak boleh menafikan kumpulan ini tahu kandungan sebenar modul kursus itu.

“Apa kebaikan yang anda dapat daripada modul yang memberitahu khalayak ramai bahawa hanya orang Melayu berjuang bagi kemerdekaan? Apa kebaikan yang anda dapat daripadanya? Adakah anda mengatakan bahawa orang Cina dan India tidak berjuang (bagi kemerdekaan)? Adakah anda mengatakan yang mereka bersama-sama dengan penjajah? Itu tidak adil,” katanya.

Mohamed Nazri menjelaskan beliau tidak bermaksud untuk tidak menghormati bekas perdana menteri itu dan ucapan beliau itu hanya merupakan hujahan balas terhadap kritikan Dr Mahathir terhadapnya.

“Jangan anggap saya bersikap tidak hormat. Beliau bebas memberikan komen terhadap kita. Dengan itu beliau perlu menerima hakikat beliau juga terbuka kepada kritikan,” katanya.

Mohamed Nazri berkata, beliau tidak akan meletak jawatan berhubung perkara itu dan tidak akan menarik balik komennya terhadap Dr Mahathir.

Diminta mengulas kenyataan Muhyiddin kelmarin, Mohamed Nazri berkata orang ramai berhak tahu pandangan kedua-dua pihak dan pemimpin tidak boleh menyembunyikan fakta daripada orang ramai.

Bagaimanapun, Mohamed Nazri berkata, beliau menghormati pandangan Muhyiddin dan berpendapat Timbalan Perdana Menteri itu mengambil peranan untuk cuba menyelesaikan masalah.

“Tak apalah dia nak komen, biarlah. Dia tak mahu tengok benda ini berlarutan. Jadi tak apalah, itu pandangan dia,” katanya.



SUMBER SINAR

1 comment: