Dec 19, 2009

PAKATAN RAKYAT ISYTIHAR JIHAD LAWAN RASUAH

Rasuah musuh nombor satu negara. Menindas dan meminggirkan mereka yang layak untuk segelintir yang mampu 'membeli' kemewahan negara.


Di konvensyen hari ini, Pakatan Rakyat mengisytihar jihad memerangi rasuah dan dasar ekonomi pincang yang menguntungkan segelintir elit semata-mata.

"Kita membantah dasar Umno-BN seperti Cukai Perkhidmatan Umum (GST) yang membebankan rakyat kebanyakan. Sekiranya kita bentuk kerajaan Pusat, Pakatan Rakyat mahu memperkenalkan dasar ekonomi baru, dan jihad memerangi rasuah," kata Setiausaha Penerangan DAP Tony Pua Kiam Wee.

"Juga, Pakatan Rakyat sekali menegaskan bahawa kita akan dan mahu menyerahkan royalti minyak 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak, khususnya Kelantan, yang dinafikan haknya oleh pemerintah hari ini," kata Tony Pua.

Dokumen Bersama Pakatan Rakyat yang dibentangkan di Konvensyen hari ini bermatlamat untuk menyelaraskan sistem ekonomi negara kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Pakatan Rakyat memberi tumpuan kepada memperbaiki operasi penyampaian kerajaan kerana rakyat membayar cukai untuk jenis pentadbiran yang cekap, teratur dan pantas.

Pakatan Rakyat berpendapat warga kebanyakan membanting-tulang siang dan malam, dan sebahagian dari titik-peluh mereka diagihkan kepada kerajaan dalam bentuk cukai.

Demikian itu, kecekapan perbelanjaan turut menjadi tumpuan gagasan kerajaan alternatif ini. Pakatan Rakyat mahu memperbaiki displin ringgit yang rosak akibat penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pembaziran dibawah pentadbiran hari ini.

"Yakini kita akan pertahan hak saudara kita dari semua kaum dan agama. Dengan kepercayaan yang diberi, kita akan pertahan hak saudara di ceramah-ceramah, di majlis perbandaran, dan dimana-sahaja," kata Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub.

Dokumen Bersama Pakatan Rakyat memperincikan ikrar gagasan untuk melaksanakan formula geran pembangunan berdasarkan faktor jumlah penduduk, kadar kemiskinan, kos dan pendapatan kasar per kapita supaya negeri-negeri miskin tidak ketinggalan dari arus ekonomi perdana.

Langkah ini dilihat perlu bagi mengurangkan pembangunan di Lembah Klang dan mengalihkan pelaburan dan projek berdaya saing ke negeri-negeri serata Malaysia.

Bagi melicinkan kecekapan, kuasa pentadbiran ekonomi dan pembangunan prasarana diagihkan kepada kerajaan negeri.

"Tidak ada Malaysia tanpa Sabah dan Sarawak. Tidak ada Malaysia tanpa Kedah, Johor dan Kelantan. Tidak ada Malaysia tanpa sokongan dan restu negeri-negeri lain," kata Ahli Parlimen DAP Anthony Loke.

"Namun kita lihat hari ini bahawa pemusatan modal dan pembangunan tertumpu di beberapa negeri sahaja, mengenepikan fakta bahawa negeri-negeri lain turut menyumbang kepada ekonomi negara," tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment