Jul 13, 2009

PAS TIDAK ANGKUH:ANWAR

MANEK URAI, 13 Julai - PAS tidak angkuh walaupun Manek Urai merupakan kubu kuat mereka. Demikian ujar Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung hubungan dan kerjasama erat parti itu dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat lain pada pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai, pada satu sidang media di Markaz Induk PAS Manek Urai hari ini.


"PAS tidak angkuh walaupun mereka ini kuat di Manek Urai, malah mereka turut menjemput pemimpin PKR dan DAP untuk sama-sama berceramah di satu pentas, ini adalah satu amalan Islam yang tawadhuk," katanya.


Walau bagaimanapun, beliau yang juga ahli parlimen Permatang Pauh itu tetap akan datang(berkempen) tanpa sebarang jemputan atas sikap tanggungjawab yang dimiliki sesama rakan dalam Pakatan Rakyat.


Dalam pada itu ketika diminta mengulas mengenai isu kehadiran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ke Manek Urai,beliau menganggapnya sebagai politik remeh.


"Ramai yang menyangka bahawa jika Najib tidak muncul membuktikan bahawa dia tidak menyokong calon BN di sini," ujarnya.


Oleh yang demikian katanya, apa jua agenda yang dibawa Umno-BN tidak akan memberikan kesan kepada kempen pilihan raya ini kerana pengundi Manek Urai dapat menilai agenda yang lebih baik dibawa PAS sejak menerajui Kelantan sejak 20 tahun lalu.




Pada sidang media yang sama, Anwar menggesa agar kerajaan meneliti hak royalti petroleum dan gas yang sepatutnya dibayar kepada negeri Kelantan.


"Sebagai seorang bekas Menteri Kewangan, beliau harus meneliti betul-betul hak rakyat Kelantan.


"Saya tidak nampak ruang untuk menafikan hak mereka selama ini," katanya lagi.


Beliau yang juga Ketua Pembangkang Parlimen juga berjanji akan mengedarkan surat kepada seluruh ahli parlimen serta membentangkan usul mengenai isu tersebut di Dewan Rakyat pada sidang parlimen akan datang.


Ditanya mengenai isu bilik gerakan PKR yang dirobohkan oleh anggota keselamatan, beliau menempelak tindakan tersebut dengan menyatakan bahawa
ianya adalah merupakan satu tindakan yang tidak bertepatan dengan undang-undang.


"Bila yang pihak keselamatan di bawah pimpinan Musa Hasan ini mengikuti peraturan dan undang-undang?" demikian ujarnya.


Turut hadir pada sidang media yang sama, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Husam Musa, ahli parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli serta Yang DiPertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman.

1 comment: