Jul 22, 2009

ANTI ISA DAN PRO ISA

DUA kumpulan yang berbeza pendirian berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membuat perancangan untuk mengadakan perhimpunan masing-masing membantah dan menyokong undang-undang itu di ibu negara, Sabtu ini.

Kedua-duanya ialah Gerakan Mansuh ISA yang mahu kerajaan memansuhkan sama sekali ISA manakala Gabungan Bersama NGO Malaysia mahukan undang-undang itu dikekalkan.

Bagaimanapun kedua-dua pertubuhan itu belum memperoleh kelulusan polis untuk menganjurkan perhimpunan masing-masing setakat hari ini.

Pengerusi Gerakan Mansuh ISA, Syed Ibrahim Syed Noh ketika dihubungi mengesahkan perhimpunan sebelah pihaknya yang akan berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan "Deklarasi Rakyat".

"Kami akan berhimpun di tiga lokasi iaitu di pekarangan pusat membeli-belah Sogo, Masjid Negara dan Masjid Jamek.

"Dari sana kami akan berarak ke Istana Negara untuk sampaikan Deklarasi Rakyat meliputi tiga perkara," kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi tadi.

Tiga perkara itu ialah mansuhkan ISA, bebaskan semua tahanan ISA dan tutup pusat tahanan Kamunting.

Sambil mengakui pihaknya belum memperoleh kelulusan polis, Syed -Ibrahim yang juga Pemangku Pengerusi Mafrel memberitahu, pihaknya akan tetap adakan perhimpunan.

"Kami berharap perhimpunan aman ini akan dibenarkan. Kami tidak akan pohon permit tetapi akan memaklumkan pihak polis," katanya.

Ketika ditanya mengenai hasrat Gabungan Bersama NGO Malaysia pula, kata beliau, itu adalah hak mereka untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, Setiausaha Gabungan Bersama NGO Malaysia, Mohd. Jurit Ramli berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan perhimpunan aman menyokong kerajaan mengekalkan ISA.

"Kami merasakan ISA masih diperlukan, yang perlu dilakukan ialah kajian semula. Jangan dimansuhkan," katanya ketika ditemui.

Jelas beliau, pihaknya akan bermesyuarat malam ini untuk menentukan kata putus akhir. / Mstar Online

No comments:

Post a Comment