Jul 23, 2009

40 ORANG AWAM AKAN DI AMBIL KETERANGAN ,KES TEOH BENG HOCK

PETALING JAYA - Seramai 40 orang awam akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock di koridor Tingkat Lima bangunan Plaza Masalam, Khamis lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, siasatan akan dibuat secepat mungkin bagi mengelakkan timbulnya sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat umum.

“Kita akan pastikan perkara yang berlaku akan disiasat sehingga ke lubang cacing agar memberi keadilan kepada keluarga mangsa.

“Sekiranya masih wujud persoalan yang masih belum dijawab selepas semua saksi memberi keterangan kita akan memberi alternatif lain yang difikirkan mampu menyelesaikan misteri kematian Teoh,” katanya di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, semua pihak, termasuk beliau sedih atas apa yang berlaku terhadap mendiang dan ahli keluarganya, tapi semua siasatan perlu diserahkan kepada jawatankuasa kerja yang diamanahkan menjalankan tugas mereka.

“Jika sebelum ini siasatan hanya membabitkan individu yang berada dalam bangunan dan bilik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi kini orang awam juga akan diambil keterangan mereka.

“Kita juga memberi jaminan bahawa kes berkenaan akan disiasat sehingga akar umbi dan mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mencetuskan ketegangan dengan memutarbelitkan fakta kes kematiannya,” katanya.

Sehingga kini polis mengambil keterangan 33 individu, termasuk 25 pegawai SPRM dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan.

Hishammuddin berkata, beliau akan melaporkan perkembangan siasatan kes itu kepada mesyuarat Jemaah Menteri esok (hari ini).

“Kita dengar apa kata Jemaah Menteri, tetapi bagi saya secara peribadi melihat apa yang dilakukan polis cukup teliti dan saya beri keyakinan dan jaminan siasatan yang dilakukan telus dan profesional kerana saya sendiri mahu kes itu diselesaikan segera, rapi dan teliti,” katanya.

No comments:

Post a Comment