Nov 10, 2011

KELUARGA SHAHRIZAT BELI KONDO RM 9.8 JUTA ,NAK BAGI LEMBU TINGGAL


Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) telah membayar RM10 juta bagi membeli kondominium milik National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC), sebuah syarikat milik kepunyaan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, dakwa PKR hari ini.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata apartmen mewah di One Menerung, Bangsar itu direkodkan oleh NFC, projek ternakan lembu yang dikurniakan kepada keluarga Shahrizat, sebahagian daripada "pinjaman" RM83 juta disalurkan kepada NMLC.
"Mereka kata akaun pinjaman RM250 juta bagi projek ini diteliti dengan ketat. Adakah kondominium ini bagi lembu untuk tinggal," kata Ahli Parlimen Machang ini pada sidang media di lobi bangunan Parlimen.
Saifuddin berkata sebanyak RM9,758,140 telah dipindahkan dari akaun NFC di CIMB cawangan di Taman Tun Dr Ismail di sini kepada Bandar Raya Developments Berhad pada 2 Disember 2009 sebagai bayaran penuh hartanah itu.
"Ia bukan daripada akaun amanah khas. Jadi, penjelasan Ketua Pemuda Umno (Khairy Jamaluddin semalam) dan menteri (Pertanian dan Industri Asas Tani) adalah tidak benar.
"Jika pemantauan ketat wujud, sudah pasti RM9.8 juta tidak boleh dipindahkan untuk membeli sebuah kondo mewah yang tiada kaitan dengan ternakan lembu. Ini pecah amanah yang jelas oleh keluarga Shahrizat," katanya lagi.
Beliau juga mempersoalkan tindakan Khairy membela projek berkenaan dengan berkata, "adakah (Ahli) Rembau (itu) terlibat dalam meluluskan projek ini" pada 2006 ketika "menjadi orang kuat Tingkat Empat" (Pejabat Perdana Menteri) ketika pentadbiran bapa mertuanya Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dalam pada itu, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli juga berkata bagaimana NFC yang hanya menyembelih 1,600 ekor lembu pada 2009 dan mencatatkan kerugian RM11 juta pada tahun yang sama mampu membeli kondo mewah.
Masalah projek NFC didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan 24 Oktober lalu.
Dalam pada itu, ahli  Majlis Pimpinan Pusat PKR Fariz Musa hari ini membuat laporan mengenai pendedahan salah laku pecah amanah di NFC, di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Shah Alam hari ini.
"Selepas beberapa pendedahan mengenai penyelewengan dana rakyat yang berlaku di NFC yang dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat, Jingga 13 pada hari ini tampil dengan bukti kukuh satu lagi penyelewengan," kata beliau yang juga ketua kempen Jingga 13.
Katanya, pada 2 Disember 2009, NFC telah membuat empat pindahan wang dari akaun semasanya di CIMB cawangan Taman Tun Dr Ismail kepada Bandar Raya Developments Berhad sebagai bayaran penuh pembelian kondominium berkenaan.
"Bayaran untuk pembelian kondominium sebanyak RM9.8 juta ini direkodkan sebagai 'hutang' NMLC kepada NFC. Jumlah ini adalah sebahagian daripada RM83 juta yang dihutangi oleh NMLC kepada NFC pada 31 Disember 2009.
"Bayaran untuk membeli sebuah kondominium mewah bagi pihak sebuah syarikat lain yang dimiliki sepenuhnya oleh keluarga Datuk  Seri Shahrizat Jalil adalah satu bentuk penyelewengan wang rakyat yang diberikan sebagai pinjaman kepada NFC," kata beliau sambil menambah, ia tindakan pecah amanah yang jelas dan bertentangan dengan tujuan pinjaman RM250 juta diberikan kepada NFC.
"Malah, ia juga membuktikan kenyataan-kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Ketua Pemuda Umno bahawa wang yang disalurkan oleh kerajaan kepada NFC diletakkan dalam sebuah akaun amanah khas adalah tidak benar.
"Jumlah RM9.8 juta yang diselewengkan untuk membeli kondominium mewah itu dipindahkan dari akaun semasa NFC di Bank CIMB cawangan Taman Tun Dr Ismail, bukannya sebuah akaun amanah khas," katanya.
Oleh itu, katanya, dakwaan menteri dan Ketua Pemuda Umno bahawa setiap transaksi memerlukan kelulusan kerajaan dan dipantau ketat juga tidak benar.
"Kalau betul pantauan ketat ini berjalan, sudah tentu wang sejumlah RM9.8 juta tidak boleh dipindahkan begitu sahaja untuk membeli kondominium mewah yang tidak ada kena mengena dengan industri penternakan dan penyembelihan lembu.
"Jingga 13 percaya maklumat-maklumat ini adalah bukti nyata bahawa satu perlakuan pecah amanah telah berlaku," kata beliau sambik menambah laporan itu wajar disiasat secepat mungkin memandangkan ia membabitkan integriti keseluruhan kerajaan Malaysia dengan mengheret pemimpin-pemimpin utama ke dalam skandal ini.

The Malaysian Insider

1 comment:

  1. Sejarah berulang lagi.Dulu Ketua Wanita UMNO,Rafidah Aziz perkayakan menantunya,sekarang Ketua Wanita UMNO juga perkayakan keluarganya.Anak mammy ni memang pandai hidup,kalah PRU pun boleh jadi menteri,anak mammylah katakan.

    ReplyDelete