May 14, 2010

Kedah: Pilihanraya negeri tak dapat dielakkan?

Barisan Nasional bergembira apabila Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak baru-baru ini dilaporkan berkata Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan jika seorang lagi ahli adun meninggalkan Pakatan Rakyat.

Ini kerana BN begitu yakin mereka mampu merampas semula negeri itu sejak mereka ditumbangkan pada pilihan raya umum 2008.

Menurut beberapa pemimpin Kedah BN, pilihan raya negeri mungkin diadakan pada bila-bila masa kerana Pakatan kini menghadapi masalah berikutan pergeseran dalaman di kalangan parti-partinya.

Ketua Pemuda Umno Alor Star, Zubir Zabidi berkata "mood rakyat sekrang bersedia untuk satu lagi pilihan raya kerana kebanyakan mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahan kerajaan negeri sekarang”.

Zubir bagaimanapun menafikan sebarang usaha daripada BN untuk 'merasuah' ahli parlimen dan adun Pakatan.

Sebaliknya, menurut beliau, pemimpin Pakatan berpaling tadah kerana tidak berpuas hati dengan kepemimpinan parti mereka.

"Persoalan merasuah tidak timbul kerana mereka bukan menyertai BN atau Umno, tetapi menjadi ahli Bebas dan ia tidak kena mengena dengan kami,” kata Zubir ketika diwawancara melalui telefon.

Azizan pada 19 April lalu, memberi amaran bahawa beliau akan membubarkan dewan undangan negeri Kedah jika lebih ramai adunnya, khususnya dari PKR berpaling tadah.

Setakat ini, PKR masih mempunyai tiga perwakilan - Tan Joo Long @ Tan Chow Kang (Sidam), S Manikumar (Bukit Selambau) dan Lim Soo Nee (Kulim), semua mereka juga adalah exco kerajaan negeri.

Bagi Zubir, beliau yakin rakyat Kedah akan memilih BN berbanding Pakatan dan meletakkan kekalahan pada pilihan raya 2008 di atas bahu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang didakwa lemah.

"Tetapi kali ini, di bawah kepemimpinan baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kita sudah bersedia bagi mendapatkan kemenangan untuk BN,” katanya.Sehingga kini kerajaan yang dipimpin Pakatan Rakyat itu sudah kehilangan dua wakil rakyatnya apabila dua adun daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Mohammad Radzhi Salleh (Lunas) dan Tan Wei Shu (Bakar Arang) bertindak keluar parti.

Kedua-duanya mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas.

Kerajaan Kedah kini menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN. Daripada jumlah itu PAS menguasai 16 kerusi, PKR (3 kerusi) dan DAP satu kerusi.

Barisan Nasional mempunyai 14 kerusi termasuk Kota Siputeh yang masih berada pada peringkat Mahkamah Rayuan selepas Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail tidak mengiktiraf Datuk Abu Hasan Sarif sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Mahkamah Tinggi sebelum itu memutuskan DUN Kota Siputeh sebagai kosong berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah selepas Abu Hasan didapati gagal menghadiri sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut.SUMBER MALAYSIA KINI

No comments:

Post a Comment