Jan 30, 2010

Rakyat Tidak Tunduk Kepada Jentera Negara Kuburkan Barisan Nasional (BN) Satu-satunya Jalan Keluar

Ahli Sekretariat Suaram JB, Cheng Lee Whee telah didakwa dibawah Kanun Keseksaan Seksyen 182 kerana tindakan membuat laporan polis untuk mempertahankan hak-hak penduduk Kampung Baru Plentong Tengah (KBPT). Peguam Negara telah mengugurkan dakwaan terhadap Cheng secara rasmi pada 25hb Januari akibat tindakan penyerahan petisyen 35 pertubuhan, parti- parti politik dan lain-lain individu. Jawatankuasa Sahabat Suaram Negeri Johor (FOS Johor) mengeluarkan kenyataan seperti berikut:-

Cheng Lee Whee telah hadir ke Mahkamah Majistret Jenayah 1 Johor Bahru untuk sebutan kedua pada 25hb Januari 2010. Timbalan Pendakwa Raya Umar Sharifuddin Bin Jaafar telah mengugurkan dakwaan terhadap Cheng Lee Whee secara rasmi di hadapan Majistret Mohamad Faud Bin Abdul Ghani dengan kehadiran penguam bela Cheng Lee Whee, iaitu Sdr Hassan Karim dan wakil peguam Johor Bar Committee Cik Navamani dalam kamar majistret (chamber majestrate) lebih kurang jam 10.10 pagi.

Majistret telah mengumumkan penguguran dakwaan terhadap Cheng Lee Whee. Beliau juga dibenarkan menuntut kembali wang jaminan RM1000 daripada mahkamah.

Jawatankuasa Sahabat Suaram Negeri Johor (FOS Johor) berpendapat bahawa penguguran dakwaan terhadap Cheng Lee Whee telah membuktikan bahawa:-

1) Kandungan laporan polis yang dibuat oleh Sdri Cheng adalah sah dan benar. Ini turut membuktikan bahawa tindakan penduduk Kampung Baru Plentong Tengah mempertahankan pengusiran secara paksa dan tindakan sokongan oleh parti-parti politik, pertubuhan dan badan-badan NGO adalah tindakan menegakkan keadilan. Tindakan pihak polis yang menggunakan gerombolan pasukan yang terlampau besar untuk membantu pihak pemaju melaksanakan perobohan rumah dan pengusiran secara paksa adalah satu tindakan yang tidak munasabah dan salah.

2) 35 pertubuhan dan massa dengan tegas menuntut “Penguguran Tudahan terhadap Cheng Lee Whee” merupakan tindakan yang betul dan tepat. Tindakan yang mengutamakan kepentingan rakyat ini telah mendapat sokongan massa rakyat. Ini merupakan satu kejayaan. Penguguran dakwaan terhadap Cheng Lee Whee oleh Peguam Negara itu adalah hasil daripada wujudnya solidariti antara pertubuhan pertubuhan, parti-parti politik dan massa rakyat yang berani berjuang dan tidak menunduk kepada kekerasan jentera Negara.

3) Rentetan dari perjuangan anti-pengusiran paksa hingga Cheng Lee Whee didakwa; tindakan menuntut penguguran dakwaan terhadap Cheng Lee Whee ;dan akhirnya dakwaan itu telah digugurkan - kesemua proses in telah meningkatkan kesedaran rakyat yang telah menyertai perjuangan ini.
Mereka telah faham bahawa masalah- masalah seperti hak asasi rakyat dicabuli; dan represi terhadap perjuangan menentang penganiayaan, bukan semata-matanya masalah “penyalahgunaan kuasa polis” sahaja. Harus difahami bahawa disebalik semua tindakan polis melakukan penganiayaan dan represi terhadap perjuangan rakyat itu, golongan pemerintah dan kerajaan BNlah yang merupakan pesalah utama. Jentera negara seperti polis, mahkamah, penjara dan sebagainya hanya merupakan alat kepada golongan pemerintah dan kerajaan BN sahaja untuk melaksanakan represi terhadap rakyat.
Polis dan mahkamah bukannya sasaran perjuangan rakyat masa kini, sebaliknya golongan pemerintah dan kerajaan BN yang memanipulasikan jentara negara yang harus dijadikan sasaran. Hanya dengan mengkuburkan hegemoni BN, rakyat baharu dapat menemui jalan penyelesaian dan memenuhi aspirasi baru.

Kami menyampaikan penghargaan kami kepada parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan dan peguam bela sukarela Cheng Lee Whee termasuk Hassan Karim, Yeo Yang Poh selaku wakil Majlis Peguam sebagai Peguam Pemerhati dan wakil peguam Johore Bar Committee, Cik Navamani dalam memberi bantuan dan sokongan kepada Cheng dan Suaram JB. Kami berharap kita akan terus memperjuangkan makna demokrasi dan hak asasi di negara ini bersama-sama.

Suaram JB/ Jawatankuasa Sahabat Suaram Negeri Johor (FOS Johor)

______________________________________________________________

No comments:

Post a Comment