Jan 28, 2010

POLIS TIDAK PERLU KETERANGAN AZMIN

Apakah maksud Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengumumkan polis tidak akan mengambil keterangan daripada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berhubung

kenyataannya yang mendakwa beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan ahli pergerakan Pemuda Umno dalam kes serangan gereja di Desa Melawati awal bulan ini.

Alasan Hishammuddin ialah Azmin bercakap atas kepentingan politik semata-mata.

"Azmin hanya orang politik yang boleh membuat andaian dan tuduhan yang bermacam-macam," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Azmin semalam yang mendakwa beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan Pemuda Umno Bahagian Gombak dan Ampang dalam kes membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, pada 8 Januari lalu.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata beliau sedang berusaha mendapatkan nombor kad pengenalan dan nombor keahlian anggota Umno yang didakwa terbabit.

Sementara itu Bernama melaporkan, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, Umno juga boleh membuat tuduhan kepada PKR sekiranya mahu, namun kerajaan mahu menumpukan untuk mengumpul bukti dan fakta terlebih dahulu dan tidak sekali-kali membuat tuduhan sembarangan.

Beliau berkata polis tidak akan pilih kasih dalam sebarang tindakannya setelah bukti yang diperolehi mencukupi tidak kira ia melibatkan orang Umno atau sesiapa sahaja yang didapati terlibat.

"Sekarang polis sudah bertindak termasuk menahan seorang anak pegawai polis. Ini menunjukkan pihak berkuasa tidak pilih kasih dalam tindakan yang penting setelah kita mempunyai bukti untuk dibawa ke muka pengadilan," katanya.

No comments:

Post a Comment