Kerajaan Negeri Selangor menuntut Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mendedahkan maklumat mengenai semua bantuan yang diterimanya daripada Kerajaan Negeri Selangor sejak penubuhan yayasan itu.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ini kerana laporan kewangan YBK seperti yang dipaparkan dalam laman sesawang rasminya gagal memberi maklumat penuh berhubung harta dan wang yang telah diberi oleh Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.
"Kita sedia maklum laporan kewangan yang dipaparkan dalam laman sesawang mereka. Tapi laporan kewangan itu tidak memberi maklumat terperinci tentang harta dan wang yang diberikan kerajaan negeri Selangor. Sebab itulah kita kata perlunya yayasan itu membuat analisa dan penyataan semula," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, laporan kewangan yang dipaparkan itu menyebut berkaitan tanah seluas 1,300 ekar di Serendah yang bernilai lebih kurang RM78 juta (dikira pada RM60,000 setiap ekar).
"Tanah itu adalah pemberian yang besar nilainya, tetapi tidak ada dalam laporan kewangan. Ini baru satu contoh. Jadi, kita harap YBK akan lebih telus dan memberikan maklumat yang sepenuhnya," tambah beliau lagi.
Khalid memberitahu, YBK gagal membayar walaupun satu sen untuk premium sejak 2001 lagi selain gagal mengambil sebarang usaha untuk membuat pembayaran.
Beliau berkata, yayasan itu hanya berhubung dengan Kerajaan Negeri Selangor ketika membuat permohonan untuk menukar status tanah itu dari pertanian kepada pengunaan komersil dan jika permohonan penukaran status tanah itu dibuat, ia akan bernilai lebih kurang RM540 juta (dikira pada RM10 perkaki persegi).
"Untuk tanah yang begitu besar nilainya sudah tentulah kerajaan negeri prihatin mengenai hal bagaimana ia diurus tadbir. Mungkin kerajaan dahulu tidak mahu mengambil tahu, tapi Pakatan Rakyat tidak boleh membelakangkan isu itu kerana 'kami bertanggungjawab ke atas setiap sen wang rakyat'," ujarnya.
Sehubungan itu, sebagai pemegang amanah harta rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja perlu telus dan bertanggungjawab, tetapi juga memastikan semua keputusan dan tindakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat selari dengan dasar "Merakyatkan Ekonomi Selangor".
Khalid turut mengulangi keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengeluarkan satu laporan terperinci berhubung harta dan wang yang diberikan kepada YBK pada tahun sebelum ini.
"Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini telah memohon kepada YBK supaya melantik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Pengerusi YBK manakala ahli Exco Kebajikan dan dua lagi wakil kerajaan negeri itu dilantik sebagai ahli lembaga penasihat . Namun demikian YBK telah menolak permohonan tersebut,” kata kenyataan itu lagi yang turut disiarkan di laman rasmi Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
No comments:
Post a Comment