Majlis Gereja Malaysia : Pemimpin harus berhati-hati buat kenyataan
Majlis Gereja Malaysia berpendirian kaum Kristian di negara ini tidak perlu berhenti menggunakan kalimah Allah dan berkata “masalah” sekarang berpunca daripada “kenyataan-kenyataan pemimpin yang kurang cermat.”
Justeru, Majlis itu menolak kenyataan seorang pemimpin Kristian dari Barisan Nasional, Datuk Clarence Bongkos Malakun yang mendesak masyarakat Kristian menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam berikutan kejadian beberapa gereja dibakar.
Clarence, dari parti UPKO dan juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah, dilaporkan mendesak masyarakat Kristian khususnya Katolik harus menggugurkan perkataan Allah untuk menenangkan masyarakat Islam.
Kenyataan itu, menurut Presiden Majlis Gereja Malaysia, Rev. Dr Thomas Phillips, tidak berpaut kepada fakta kerana "penggunaan perkataan Allah oleh orang Kristian bukan sesuatu yang baru.”
"Ia telah digunakan oleh orang Kristian sekian lama di Indonesia dan di Malaysia, terutama di Sabah dan Sarawak. Ia tidak menimbulkan masalah sehingga Kementerian Dalam Negeri mempersoalkan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar The Herald," kata beliau.
“Masalah yang berlaku sekarang adalah kerana ada pemimpin membuat kenyatan-kenyataan yang kurang cermat dan kurang jelas. Di akar umbi, dan di kalangan orang ramai tidak ada masalah sebelum ini,” kata beliau.
Sehingga ini, lapan gereja termasuk yang terbaru di Seremban 2, Negeri Sembilan menjadi sasaran perbuatan khianat membakar dan vandalisme dipercayai mempunyai kaitan dengan kontroversi penggunaan kalimah 'Allah' oleh Herald-The Catholic Weekly.
Sekolah Menengah Convent di Taiping, Perak turut dibaling bom petrol, manakala sebuah surau di Klang, Selangor dibaling batu.
Dr Thomas yang juga Pengerusi Majlis Perunding Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao menyokong usaha mana-mana pihak untuk menganjurkan rundingan untuk membincangkan isu itu secara ilmiah.
Tidak harus ada tekanan ke atas mana-mana pihak dan penyelesaian harus berpaksikan kepada perbincangan yang ikhlas dan fikiran terbuka, tegas beliau. sumber
No comments:
Post a Comment