Sep 15, 2009

MB SELANGOR AKAN JUMPA (ADUN) PELABUHAN KLANG ESOK


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menjawab beberapa persoalan mengenai permasalahan yang melanda Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah.

Tan Sri Khalid yang ditemui dalam sidang media Pakatan Rakyat memberitahu, pihaknya masih lagi memantau keadaan Badrul untuk tindakan yang selanjutnya.

"Mengenai YB Badrul, ADUN Pelabuhan Klang kita masih lagi memantau keadaan beliau dan semalam saya berada di Klang, bersama-sama dengan Ketua Umum parti untuk majlis berbuka puasa dan juga ketua umum adakan majlis ceramah umum, kita harap Badrul hadir atas alasan-alasan tertentu" ujar Khalid.

Tan sri Khalid juga memberitahu, beliau bercadang untuk bertemu dengan Badrul Rabu ini untuk membincangkan [ketegangan] yang berlaku di Pelabuhan Klang.

Ujarnya, perbincangan itu nanti akan membincangkan kedudukan ADUN itu dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat di Pelabuhan Klang. Ditanya berkenaan dengan surat tunjuk sebab yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada Badrul, katanya Badrul telah membalas surat tersebut.

" Yes replied. Dia sudah menjawab dan antara alasan yang diberi termasuklah masalah sendiri. Maknanya masalah yang beliau hadapi. Beliau tidak dapat menjalankan tugas sebagai ADUN buat sementara ini tapi ini kita perlu bincangkan. Cuba atasi masalah tersebut" tambahnya.

Beliau juga turut diajukan soalan mengenai Badrul yang didakwa berkecil hati dengan pemerintahan Tan Sri Khalid, namun ini jawapan beliau.

" Saya tak tahu sama ada kecil atau besar tapi tanggungjawab beliau didapati masih belum dapat menjalankan tanggungjawab sepenuhnya. Jadi kalau ingin menjadi wakil rakyat, kecil hati atau besar hati tidak timbul" katanya.

Sebelum ini terdapat pelbagai spekulasi mengenai Badrul yang kononnya ingin lompat parti dan ada juga yang mendakwa beliau pernah ditangkap khalwat. Bagaimanapun, Badrul telah menafikan kenyataan tersebut.

Malah menurut Badrul beliau tidak pernah ditawarkan untuk melompat parti dan tidak pernah terfikir untuk berbuat demikian.

No comments:

Post a Comment